KUALA LUMPUR: Penggunaan insinerator mampu mengatasi masalah lambakan sampah di negara ini di samping penggunaan pelbagai kaedah pelupusan sampah lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penyelidikan dan Inovasi Alam Flora, Dr. Muhd. Noor Muhd. Yunus berkata, penggunaan insinerator mampu dilaksanakan sekiranya terdapat syarikat swasta mahu melabur bersama-sama kerajaan.
“Paling utama adalah kita tidak boleh menumpukan pada hanya satu kaedah pelupusan. Kerajaan serta pihak-pihak berkaitan perlu inovatif dalam mengadaptasi teknologi yang sesuai digunakan.
“Penggunaan insinerator boleh mengurangkan risiko lambakan sampah tetapi ia terbahagi kepada beberapa jenis. Demi alam sekitar, mana-mana pihak yang bersedia untuk melabur perlu memilih insinerator yang mengeluarkan kurang karbon.
“Untuk menjayakan usaha ini, kerajaan memerlukan pemain-pemain industri yang terkemuka atau pendukung teknologi yang terbukti mampu melaksanakan pembaharuan,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan, negara ini bakal berhadapan risiko lambakan sisa domestik berpunca daripada kelemahan sistem pengurusan sehingga menyebabkan kira-kira 38,000 tan metrik sampah sehari tidak dapat ditangani dengan baik terutama di kawasan perbandaran.
Ini menimbulkan kebimbangan kebolehupayaan negara mengurus jumlah sebesar itu apabila dimaklumkan ada 83 pusat pelupusan sampah terbuka yang kebanyakannya sudah ditutup. Malah hampir keseluruhan 163 pusat pelupusan sampah yang masih beroperasi juga sudah mencapai tahap kapasiti harian.
Sementara itu, Muhd Noor berkata, masalah lambakan sampah boleh dihentikan sekiranya wujud keinginan politik dalam kalangan pentadbir negara pada masa ini.
“Ini bukan soal saling menyalahi satu sama lain, sebaliknya semua perlu menggalas tugas dengan iltizam sama iaitu mencari solusi bernas supaya negara tidak terbeban dengan masalah sampah akan datang.
“Untuk memperbanyak kaedah pelupusan sampah, ini akan melibatkan kos yang tinggi maka sudah tentu ini bukan perkara yang mudah. Teknologi itu perlu setanding di luar negara namun tidaklah sehingga menelan perbelanjaan besar,” katanya. – UTUSAN










