KUALA LUMPUR: Pengamal undang-undang syariah diminta mencari kaedah bagi memendekkan tempoh masa perbicaraan di Mahkamah Syariah.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kes yang berlarutan untuk satu tempoh masa yang panjang dibimbangi akan menyebabkan berlakunya kezaliman kepada mereka yang terlibat.
“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mahkamah Syariah dan peguam syarie perlu mencari idea bagaimana mahu pastikan supaya tempoh penyelesaian suatu kes itu dapat dipendekkan.
“Lagi panjang kes itu berlarutan, ia akan menyebabkan kezaliman kepada pihak-pihak dan peranan ini bukan sahaja perlu dimainkan oleh mahkamah tetapi juga peguam syarie.
“Jangan ada usaha untuk melambat-lambatkan penyelesaian kes itu sebab akan ada pihaknya yang teraniaya,” katanya kepada pemberita.
Sehubungan itu, Mohd. Na’im berkata, pengembelengan kerjasama semua pihak diperlukan dalam memastikan matlamat itu tercapai tetapi dalam masa sama tidak memprejudiskan keadilan kepada mereka yang terlibat.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Konsultasi Guaman Syarie Percuma sempena Ramadan yang dianjurkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).
Program Konsultasi Percuma itu akan dikendalikan lebih 200 orang Panel-Panel Peguam Syarie Program Bantuan Guaman Syarie (Bagus), PGSM di seluruh negara.
Program itu akan bermula 27 Mac ini sehingga 20 April antara pukul 10 pagi hingga pukul 1 petang dari hari Isnin hingga Khamis.
Program itu bertujuan untuk memberikan khidmat konsultasi secara percuma kepada mereka yang berurusan dengan Mahkamah Syariah, khususnya golongan B40.
Matlamat program itu adalah untuk memastikan semua umat Islam di negara ini mendapat akses kepada keadilan walaupun mereka terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi.
Sementara itu, mengenai isu peningkatan kos haji dan umrah, Mohd. Na’im berkata, akan ada pengumuman berkenaan perkara itu kelak. – UTUSAN










