AS, Britain lengkapkan Australia hadapi China di Indo-Pasifik

AS,Britain lengkapkan Australia hadapi China di Indo-Pasifik

JOE Biden (tengah) berucap pada majlis pengumuman pembelian kapal selam berkuasa nuklear di pangkalan tentera laut AS di San Diego kelmarin diiringi Anthony Albanese dan Rishi Sunak (kanan). – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN DIEGO: Pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan Britain mendedahkan butiran rancangan mereka untuk melengkapkan Australia dengan tiga buah kapal selam serangan berkuasa nuklear.

Ini merupakan langkah besar yang melibatkan pelaburan ratusan bilion dolar AS bertujuan menentang cita-cita China dalam meluaskan pengaruh­nya di Indo-Pasifik.

Berucap pada majlis di pangkalan tentera laut AS di San Diego kelmarin diiringi Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, Presiden AS, Joe Biden menggelar perjanjian di bawah perkongsian AUKUS 2021 itu sebagai sebahagian daripada komitmen bersama yang bebas dan terbuka.

Beliau menyifatkan wilayah Indo-Pasifik akan dikawal de­ngan dua sekutu yang paling kuat dan berkebolehan AS iaitu Britain dan Australia.

BUKAN SENJATA NUKLEAR
Biden juga menegaskan bahawa tiga buah kapal selam itu akan menggunakan kuasa nu­klear tetapi bukan bersenjata nuklear.

“Kapal-kapal ini tidak akan mempunyai sebarang jenis senjata nuklear,” katanya.

Sunak pula menyebut perjanjian AUKUS 2021 itu merupakan satu perkongsian yang kuat.

Beliau menambah, buat pertama kali, tiga armada kapal selam bekerjasama merentasi Atlantik dan Pasifik bagi memastikan lautan di Indo-Pasifik bebas daripada pe­ngaruh China untuk beberapa dekad akan datang.

TIGA KAPAL SELAM
Di bawah perjanjian itu, AS berhasrat untuk menjual kepada Australia tiga kapal selam berkuasa nuklear kelas Virginia AS yang dibina oleh General Dynamics pada awal 2030-an dengan pilihan untuk membeli dua buah lagi kapal jika perlu.

Menerusi kenyataan bersama tiga pemimpin itu, projek berbilang peringkat itu akan mencapai kemuncak de­ngan pengeluaran dan operasi kapal selam kelas baharu Britain dan Australia iaitu SSN-AUKUS, kapal yang dibangunkan secara tiga hala berdasarkan reka bentuk generasi akan datang Britain yang akan dibina di Britain dan Australia dengan menggunakan teknologi termaju AS.

Seorang pegawai pertahanan Australia berkata, projek itu akan menelan belanja sebanyak AS$245 bilion (RM1.1 trilion) menjelang 2055.

Menurut Albanese pula, Bri­tain akan menerima penghantaran kapal selam SSN-AUKUS pertamanya pada akhir 2030-an dan Australia akan menerima yang pertama pada awal 2040-an.
Kapal itu akan dibina oleh BAE Systems dan Rolls-Royce.

Perjanjian itu juga akan me­nyaksikan kapal selam AS dan Britain itu ditempatkan di Australia Barat untuk membantu me­latih kru Australia dan meningkatkan pencegahan pencerobohan.

AS dan Britain akan memulakan penempatan bergilir ini selepas 2027.

Pegawai AS berkata, perjanjian ini menjadikan empat kapal selam AS dan satu kapal Britain dalam beberapa tahun akan datang.

Fasa pertama rancangan itu sedang dijalankan dengan kapal selam berkuasa nuklear kelas Virginia AS Asheville akan melawat Perth di Australia Barat.

AUKUS akan menjadi kali pertama buat Washington berkongsi teknologi pendorongan nuklear dengan negara lain setelah pernah berbuat demikian dengan Britain pada 1950-an.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.