KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan wang tunai RM500,000 berkaitan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).
Adam Radlan, 42, yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat turut didakwa meminta suapan sebagai dorongan untuk membantu sebuah syarikat lain mendapatkan surat setuju terima bagi projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta.
Pertuduhan pertama, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd.., Mat Jusoh Mamat iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang diperoleh.
Suapan itu sebagai upah membantu syarikat tersebut mendapatkan Surat Setuju Terima bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.
Pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah untuk tujuan serupa.
Dia didakwa meminta rasuah di sebuah restoran di Dutamas pada Mac 2021 manakala tuduhan menerima rasuah dilakukan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku pada 26 November 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili ahli perniagaan ini, merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan Adam Radlan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang disiasat dan tidak pernah dituduh dalam kes jenayah lain.
“Anak guam saya merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai empat anak yang berusia sembilan hingga 16 tahun,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, Hakim Suzana Hussain membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes itu. – UTUSAN