SPRM digesa siasat perbelanjaan mewah PH, BN PRU15

SPRM digesa siasat perbelanjaan mewah PH, BN PRU15

MOHD. Shukor Mustaffa (dua kiri) menunjukkan dokumen laporan kepada SPRM di perkarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat perbelanjaan mewah oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Puchong, Mohd. Shukor Mustaffa mendakwa, pelbagai siaran media dan perkongsian di media sosial membuktikan penganjuran ceramah-ceramah gabungan parti politik berkenaan yang mewah.

“Mereka juga dilihat menggunakan poster dan bendera yang banyak selain Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menaiki helikopter mewah untuk bergerak semasa tempoh kempen.

“Anwar juga mengatakan tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri begitu juga anaknya Nurul Izzah. Persoalannya, daripada mana sumber pembiayaan anak beranak ini sehingga mampu hidup mewah tanpa gaji bulanan,” katanya kepada pemberita ketika hadir membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Mohd. Shukor mendakwa, tindakan beliau membuat laporan kepada badan penguat kuasa ini mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti.

Terdahulu, beliau tiba di pekarangan Ibu Pejabat SPRM kira-kira pukul 11 pagi dengan diiringi hampir 20 ahli parti Bersatu.

Menurut Mohd. Shukor, semua perkara yang disenaraikan beliau itu menimbulkan persoalan dari manakah sumber sebenar dana PH dan BN pimpinan Anwar serta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN.

“Kami berharap agar satu siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dilakukan terhadap PH dan BN, terutamanya terhadap Anwar dan keluarganya.

“SPRM adalah badan yang seharusnya bebas dan berkecuali. Laporan ini memerlukan tindakan yang adil dan segera daripada SPRM,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setelah hampir tiga bulan menjadi kerajaan, PH dan BN seharusnya memberi tumpuan kepada masalah kos sara hidup yang semakin meningkat dan krisis kesihatan di Malaysia yang masih belum pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, katanya, tumpuan mereka sebaliknya lebih kepada mencipta fitnah dan tohmahan terhadap pesaing politik mereka terutamanya Bersatu.

“Pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan kepada Bersatu untuk membina persepsi negatif terutamanya dalam masa kita sedang dekat Pilihan Raya Negeri di enam negeri,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya