Selangor lanjut program saringan kesihatan rakyat - Utusan Malaysia

Selangor lanjut program saringan kesihatan rakyat

DR. SITI MARIAH MAHMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Program akses kesihatan, Selangor Saring akan diteruskan pada tahun ini oleh kerajaan negeri selepas sambutan diterimanya pada tahun lalu menunjukkan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri bersetuju menganjurkan program itu selepas melihat ramai penduduk Selangor melakukan pemeriksaan di bawah Saring Selangor.

“Program Selangor Saring yang dilaksanakan pada tahun lalu menerima lebih 20,000 pendaftaran. 49 peratus daripada jumlah itu dikenal pasti kes (penyakit dan masalah kesihatan) yang memerlukan tindakan susulan, konsultasi dan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada tahun lalu, kerajaan Selangor memperkenalkan Selangor Saring yang bertujuan membantu rakyat negeri itu yang kurang berkemampuan membuat saringan kesihatan sekaligus membolehkan mereka mengesan penyakit dijangkiti lebih awal dan mendapatkan rawatan segera.

Dalam pada itu, Siti Mariah memaklumkan kerajaan negeri akan memperutukkan sejumlah RM2.6 juta bagi melaksanakan Selangor Saring pada tahun ini dan mengekalkan saringan bagi memeriksa penyakit berjangkit dan tidak berjangkit.

“Kita menyasarkan 31,000 penerima daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor akan mendapat manfaat daripada program ini. Kerajaan negeri juga memperluaskan skop perkhidmatan kepada tiga kategori iaitu saringan telinga, pemeriksaan gigi, perkhidmatan fisioterapi dan saringan asas lain.

“Pendaftaran (Selangor Saring) boleh dibuat menerusi aplikasi SELangkah mulai hari ini (Rabu) dan orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut berhubung program itu di laman sesawang rasmi Selangor Saring.

“Setiap pemohon perlu melengkapkan borang saringan awal ketika proses pendaftaran bagi tujuan untuk mengenal pasti latar belakang serta faktor risiko pemohon. Individu yang layak akan menerima baucer untuk menjalani saringan kesihatan tanpa sebarang bayaran di lokasi serta tarikh yang ditetapkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya