Naikkan ‘taraf’ jurulatih menembak

Naikkan ‘taraf’ jurulatih menembak

JONATHAN Wong antara penembak senior negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naikkan kualiti jurulatih tempatan, kemudian barulah skuad menembak Malaysia boleh berkembang.

Itu saranan bekas pengurus menembak kebangsaan, Datuk Musa Omar susulan penyingkiran awal penembak Malaysia, Johnathan Wong dan Nurul Syasya Arifin di pusingan kelayakan 10 meter (m) air pistol berpasukan campuran Piala Dunia 2023 di Jakarta baru-baru ini.

Pada ketika kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris sudah bermula, Musa percaya, masalah terbesar penembak Malaysia yang perlu diatasi adalah kelemahan jurulatih sedia ada bagi menyediakan atlet yang mampu mencabar di peringkat lebih tinggi.

“Piala Dunia memang susah, namun antara masalah utama skuad kebangsaan kita ialah jurulatih. Jurulatih kita memang bagus cuma tahap mereka setakat di peringkat kebangsaan, bukan antarabangsa.

“Bagi saya, kita kena naikkan sekurang-kurangnya seorang jurulatih tempatan menjadi lebih baik dan lebih tinggi dari posisi sekarang. Selama menjadi pengurus dulu, saya lihat tempoh untuk melatih jurulatih tidak ambil masa lama, seminggu pun cukup.

“Kalau pihak persatuan nak mohon kepada Institut Sukan Negara (ISN) untuk dapatkan jurulatih luar negara bagi melatih jurulatih tempatan, itu pun boleh. Tak perlu sampai sebulan, selebihnya atlet perlu didedahkan dengan lebih banyak kejohanan.

“Kita pernah guna khidmat jurulatih dari Russia semasa Sukan Komanwel 1998 yang membuahkan emas. Masalah dengan jurulatih luar ini cuma bahasa dan budaya, yang mana bagi saya mampu diatasi melalui komunikasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kali terakhir Malaysia menggunakan khidmat jurulatih asing ialah Park Sang Soon dari Korea Selatan pada 2018 semasa Sukan Asia di Jakarta dan buat masa ini skuad kebangsaan mempunyai tiga jurulatih tempatan.

Musa yang menjadi pengurus skuad kebangsaan pada hujung 1990-an, termasuk ketika Malaysia meraih emas Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur menerusi Nurul Huda Baharin (rifle angin perseorangan wanita) juga mengakui, penembak negara sentiasa berasa rendah diri di Piala Dunia ekoran jumlah kejohanan antarabangsa yang disertai sangat sedikit.

Katanya, setiap kejohanan akan menampilkan banyak penggunaan aksesori menembak yang baharu, dan segala peralatan itu tidak pernah digunakan atlet tempatan, sekali gus merendahkan keyakinan mereka semasa bertanding.

“Satu lagi masalah adalah aksesori menembak. Setiap kejohanan, kita akan jumpa banyak aksesori baharu daripada atlet luar negara.

“Atlet kita pula tak biasa dengan semua aksesori itu. Bila kita berjaya dapatkan, mereka (atlet luar negara) sudah ada aksesori lain yang lebih baik pula.

“Bagi saya, cara untuk kita sentiasa tahu mengenai aksesori ini adalah dengan mendedahkan atlet bertanding di luar negara.

“Orang lain dalam setahun mungkin menembak 10 kali, atlet kita pula mungkin cuma lima kali. Perbezaan itu perlu dikejar,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.