Jabatan Imigresen distruktur semula

Jabatan Imigresen distruktur semula

KHAIRUL DZAIMEE DAUD (tengah) meninjau keadaan laluan keluar kenderaan Singapura di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen kini dalam proses melakukan penstrukturan semula untuk menjadi sebuah jabatan penguatkuasaan yang lebih kompeten dan cekap.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kertas cadangan tentang penstrukturan semula itu akan dibawa ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat.

Menurutnya, langkah penstrukturan semula itu turut disokong oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Kita telah pun menghantar kertas cadangan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan penyerahan itu perlu dikemukakan oleh pihak kementerian.

“Datuk Seri Saifuddin Nasution menyokong penuh penstrukturan semula ini kerana akan mewujudkan peluang kerjaya yang lebih baik dari segi kenaikan pangkat kepada pegawai imigresen,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini bagi meninjau keupayaan peranan Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT).

Khairul Dzaimee memberitahu, penstrukturan semula itu membolehkan Jabatan Imigresen menarik bakat yang mempunyai kelulusan lebih tinggi pada masa depan dan yakin perkara ini bakal menarik minat umum untuk menyertai agensi penguatkuasaan itu.

“Berdasarkan pengalaman lalu, proses ini akan mengambil masa antara empat hingga enam bulan dan berharap mendapat kelulusan pada Julai dan dapat dilaksanakan pada tahun ini juga,” katanya.   

Mengenai keupayaan jabatan tersebut, Khairul Dzaimee memberitahu, pada masa ini, jumlah keanggotaan masih mencukupi walaupun terdapat beberapa anggota dipinjamkan daripada bahagian lain untuk bertugas bersama QRT di Bangunan Sultan Iskandar.

Beliau yakin penubuhan QRT yang diletakkan di BSI di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah berjaya meningkatkan keupayaan perkhidmatan pemeriksaan Imigresen di kedua-dua pintu masuk negara itu.

Katanya, penugasan QRT membolehkan perkhidmatan dioptimumkan pada waktu puncak, seterusnya mengatasi masalah kesesakan di kawasan terbabit.

Pasukan yang diaktifkan sejak 6 Februari lalu mempunyai seramai 51 anggota di BSI, manakala 20 anggota di KSAB, yang sedia digerakkan pada bila-bila masa jika diperlukan.

“Sebelum wujudnya QRT, jumlah kereta yang boleh diuruskan kemasukan dan diselesaikan pengesahan dokumennya dalam masa satu jam ialah 1,400.

“Dengan adanya QRT, kesemua kaunter pemeriksaan dapat dibuka, hasilnya sebanyak 2,300 buah kereta boleh diselesaikan dalam masa satu jam berbanding sebelum ini, sekali gus melancarkan pergerakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya