Ant International bakal sediakan lebih 500 peluang pekerjaan baharu - Utusan Malaysia

Ant International bakal sediakan lebih 500 peluang pekerjaan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyedia teknologi pembayaran dan kewangan, Ant International akan menyediakan lebih 500 peluang pekerjaan di Malaysia menerusi penubuhan Pusat Niaga Digital baharu bagi memajukan perdagangan di peringkat global.

Presiden Ant international, Douglas Feagin berkata, penubuhan ini akan memberi tumpuan terhadap bakat-bakat teknologi tempatan bagi ekosistem perdagangan global yang inklusif dan mampan.

Ujarnya, peluang pekerjaan ini akan dibuka bermula pada tahun ini dan akan meneruskan pengambilan baharunya dalam tempoh empat tahun yang akan datang iaitu sehingga 2028.

“Terdapat beberapa jabatan yang akan ditawarkan seperti Teknologi dan pembangunan, Produk & Reka Bentuk, Sains Data dan kawalan Risiko, Perniagaan Pembangunan dan sebagainya.

“Pihak kami akan menggunakan sumber khas untuk bantu membangunkan serta memupuk bakat-bakat ini melalui latihan komprehensif, bimbingan dan pendedahan kepada perniagaan secara global,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Sumber Manusia Ant International, Nina Xiao berkata, peluang pekerjaan itu akan dibuka kepada mereka yang memiliki pengalaman, lepasan graduan dan menerima mana-mana pelajar yang tertarik untuk melaksanakan latihan industri di syarikatnya.

“Kami telah pergi ke universiti di sekitar Malaysia seperti Universiti Malaysia (UM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan sebagainya.

“Perkara ini sedikit sebanyak dapat bantu memperkenalkan syarikat ini dan menarik mereka untuk bekerja di bawah kami,” jelasnya selepas majlis pengumuman penubuhan Pusat Niaga Digital baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Mahadhir Aziz berkata, inisiatif ini adalah bernas kerana ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk sertai industri digital bagi dunia perniagaan global.

“Ia bukan sahaja dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan malah boleh meningkatkan jumlah pelaburan sehingga mampu meletakkan Malaysia sebagai negara pilihan yang mampu memajukan ekonomi digital,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×