Ganjaran lumayan menanti pasukan hoki wanita Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Ganjaran lumayan menanti pasukan hoki wanita Negeri Sembilan

AMINUDDIN Harun memukul bola hoki ke gawang sebagai gimik pada Majlis Memperkenalkan Pemain Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Liga Hoki TNB Malaysia 2023 di Seremban malam tadi.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan sedia menawarkan ganjaran lebih lumayan kepada pasukan hoki wanita negeri itu sekiranya mencatatkan kejayaan dalam Kejohanan Liga Hoki TNB Malaysia 2023 yang bermula esok.

Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah ganjaran itu hanya akan diputuskan berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan dalam setiap perlawanan.

Beliau yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, ia bagi meningkatkan motivasi kepada para pemain mempamerkan saingan terbaik hingga mencapai kejayaan.

“Pihak pengurusan PHNS akan berbincang daripada semasa ke semasa bagi menentukan jumlah ganjaran tersebut berdasarkan pencapaian pasukan,” katanya kepada para pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Pemain Pasukan Hoki Wanita Negeri Sembilan yang akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Liga Hoki TNB Malaysia 2023 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani dan Timbalan Presiden PHNS, Datuk Masri Razali.

Aminuddin menarik perhatian, para pemain yang telah membawa pasukan itu memenangi kejohanan liga tersebut tahun lalu turut menerima imbuhan yang dimasukkan dalam kontrak mereka tahun ini.

Menurutnya, tahun ini, Negeri Sembilan telah menetapkan sasaran untuk meraih ketiga-tiga piala yang dipertandingkan dalam liga hoki Malaysia bermula dengan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok.

Jelasnya, selain Piala Sumbangsih yang diperkenalkan tahun ini, kejohanan itu turut menawarkan Piala Liga dan Piala Vivian Soars.

“Tahun lalu, pasukan ini berjaya muncul juara liga dan naib juara Vivian Soars,” ujarnya.

Tambahnya, bagi memastikan kesinambungan kejayaan itu, sebahagian besar pemain musim lalu dikekalkan dengan diadun muka baharu termasuk pemain muda.

Aminuddin membertahu, pemain paling muda dalam pasukan itu berusia 15 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri, di sini, iaitu Nur Syasya Atirah Firdaus.

Selain itu, pasukan itu turut dibarisi antaranya pemain kebangsaan, Noraini Abdul Rashid yang bertindak sebagai ketua pasukan, Nuramirah Shakirah Zulkifli, Hanis Nadiah Onn, Nur Syuhada Shuhaimi, Nur Afiqah Syahzani Azhar, Fatin, Shafika Mohd. Sukrie, Farah Ayuni Yahya, Ellya Syahirah Ellias dan Fatin Naimah Zaki.

Negeri Sembilan akan menentang KPT-Uniten Thunderbolts dalam perlawanan Piala Sumbangsih pada pukul 6 petang esok.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya