4 hari tayangan, filem Coast Guard raih kutipan RM2.5 juta - Utusan Malaysia

4 hari tayangan, filem Coast Guard raih kutipan RM2.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Mencipta fenomena tersendiri, filem genre aksi, Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang memulakan tayangan di seluruh pawagam pada Sabtu lalu telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM2.5 juta.

Menurut Penerbit Flying Deals Sdn Bhd, Muhammad Hady Yusry Makmor, perkara itu merupakan sesuatu yang membanggakan selain mengharapkan sambutan yang menggalakkan dapat terus diraih daripada penonton.

“Saya menjangkakan kutipan akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Bahkan, berita baiknya, kebanyakan pawagam sudah membuat penambahan dewan termasuk waktu tayangan di sekitar 132 pawagam seluruh Malaysia,Brunei dan Singapura.

“Saya lihat sambutan daripada penonton juga amat menggalakkan pada hari pertama nakshah ini ditayangkan.

“Itu sesuatu yang cukup positif terutama bila saya dapat tahu ada pawagam yang sampai kena buka dewan dan menambah waktu tayangan kerana sambutan yang sangat tinggi daripada penonton,”katanya.

Mewakili pihak produksi, tambah Muhammad Hady Yusry, dia bersyukur dengan pencapaian yang memberangsangkan itu meskipun promosi filem berkenaan berlaku sangat perlahan.

“Kalau diperhatikan, kebanyakan filem lain memulakan promosi sebulan atau dua bulan sebelum ditayangkan. Tetapi, kami pula bermula agak lewat, kurang lebih seminggu atau dua minggu sebelum itu.

“Tentulah, timbul kerisauan itu. Tetapi bila masuk sahaja hari kedua dan ketiga, kutipannya meningkat drastik. Kita doakan yang terbaik untuk filem ini dan semoga pawagam juga akan menayangkan filem ini dalam tempoh lama,” katanya.

Coast Guard Malaysia: Ops Helang telah diterbitkan oleh Flying Deals dan Arie Zaharie Production dan menelan belanja sebanyak RM13 juta dan mendapat kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Filem yang dibintangi oleh Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin ini mengisahkan kehidupan Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) APMM iaitu Leftenan Maritim Hafiz yang mahu memulakan kehidupan baharu di sebuah pulau selepas mengalami Gangguan Stress Pasca Trauma (PTSD).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.