2,130 huffaz profesional berjaya dilahirkan 8 IPT

2,130 huffaz profesional berjaya dilahirkan 8 IPT

MOHD. Na'im Mokhtar merasmikan Persidangan Huffaz Profesional Antarabangsa 2023 di Uniten, Kajang, Selangor. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan optimis mampu melahirkan kira-kira 125,000 huffaz menjelang 2050 selaras dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dilancarkan pada 2018 lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, sasaran tersebut adalah realistik meskipun ramai pihak yang masih meraguinya.

Beliau berkata, setakat ini, negara berjaya melahirkan 2,130 huffaz profesional daripada lapan buah institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara

“Insya-Allah, saya amat yakin negara kita berupaya melahirkan 125,000 huffaz dalam masa kurang tiga dekad lagi dengan pelbagai program yang dirancang rapi ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir merasmikan Persidangan Huffaz Profesional Antarabangsa 2023 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), hari ini.

Acara julung kali diadakan itu yang dihadiri 1,000 peserta dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Uniten.

DPTN adalah sebahagian daripada program Transformasi Nasional 2050 dan dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan misi sasaran 125,000 huffaz dengan polisi tersebut diselaraskan Jakim berdasarkan model pewujudan Darul Quran dibina di Kuala Kubu Bharu pada 1966.

Mohd. Na’im berkata, susulan kejayaan tersebut, Darul Quran yang dikendalikan Jakim melaksanakan Program Pensijilan Tahfiz bermula tahun 2000 lepas.

Lapan IPT yang menawarkan program tahfiz ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bermula 2000 lalu, diikuti Uniten (2012), University of Cyberjaya (2013) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (2016).

Setahun selepas itu pula ia diperluaskan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Sultan Azlan Shah pada 2018 dan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam dan Management and Sciences University, selain beberapa IPT sudah menunjukkan minat selepas ini.

Justeru, Mohd. Na’im berharap penuntut IPT yang mengikuti pengajian profesional seperti perubatan, perakaunan dan kejuruteraan agar merebut peluang untuk menjadi huffaz sebagaimana dilaksanakan banyak negara Islam seperti Arab Saudi, Mesir dan Turkiye.

“Kita mahu suatu masa nanti, ramai doktor, akauntan atau jurutera boleh menjadi imam hafiz di masjid memimpin jemaah dan bukan sekadar tahu ilmu agama sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Jakim juga akan memperkasakan lepasan daripada lebih 1,000 institusi tahfiz di seluruh negara agar lepasannya ada kemahiran profesional dan vokasional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya