Risiko penerbangan domestik di Nepal - Utusan Malaysia

Risiko penerbangan domestik di Nepal

PASUKAN penyelamat mencari mayat mangsa di sekitar serpihan nahas pesawat penumpang di Pokhara di Nepal Ahad lalu.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Sejarah bencana penerbangan Nepal dan isu-isu mengenai keselamatan udara di negara itu menjadi perkara yang membimbangkan dunia ketika penerbangan domestik menjadi satu-satunya pengangkutan paling cekap untuk bergerak di negara itu.

Pakar industri menekankan bentuk muka bumi Nepal menjadi sebab utama perjalanan udara domestik kekal sebagai pilihan pertama walaupun berdepan risiko yang tinggi.

“Dengan bentuk muka bumi negara yang mencabar dan jarak yang agak jauh, pengangkutan udara menjadi cara paling berkesan untuk mengelilingi negara seperti itu.

“Walaupun terdapat risiko, penerbangan selama 45 minit boleh menjimatkan masa memandu berjam-jam lamanya,” kata Pengurus Asia FlightGlobal, Greg Waldron.

PILIHAN PALING CEKAP WALAUPUN BERISIKO

Pengasas organisasi bukan kerajaan Safety Matters Foundation di India, Kapten Amit Singh memberitahu, pengangkutan udara merupakan satu-satunya cara terpantas kerana kebanyakan destinasi di Nepal adalah melalui kawasan pergunungan yang kadang kala boleh mengambil masa beberapa hari untuk sampai.

“Dengan bilangan pelancong yang semakin meningkat di Nepal, akses yang lebih pantas melalui lapangan terbang merupakan tarikan yang membantu pelawat menguruskan jadual perjalanan mereka,” katanya kepada Channel News Asia.

Penunggang basikal, Alex Koh yang  melawat Nepal lebih tujuh kali turut berkongsi pengalaman menakutkan ketika menaiki penerbangan domestik dari Kathmandu ke Pokhara.

“Pesawat itu benar-benar kecil. Saya tidak boleh berdiri tegak berjalan di laluan tempat duduk. Apabila penerbangan di udara, saya merasakan ia bergerak apabila ada angin kencang,” kata warga Singapura berusia 46 tahun itu.

Amit berkata, pelawat perlu memilih syarikat penerbangan dengan rekod keselamatan dan infrastruktur yang baik termasuk memiliki kapal terbang yang lebih baru.

Infrastruktur lapangan terbang juga perlu dinaik taraf kepada piawaian global untuk menjamin keselamatan semua penumpang.

Pengasas Agensi Pelancongan Lost Earth Adventures, Richard Goodey yang berpangkalan di United Kingdom (UK) mengakui penerbangan di Nepal lebih berisiko daripada yang biasa dilakukan di negara lebih maju. 

Walaupun terdapat peluang rendah untuk terlibat dalam kemalangan penerbangan domestik, terdapat peluang yang jauh lebih tinggi di negara itu berbanding dengan syarikat penerbangan antarabangsa lain.

KEADAAN MUKA BUMI DAN IKLIM MENCABAR

Richard menasihatkan pelancong untuk melihat dengan teliti rekod syarikat penerbangan sebelum menempah penerbangan.

Selain bentuk muka bumi negara Himalaya itu, keadaan cuaca yang berubah-ubah serta landasan lapangan terbangnya yang rumit boleh mencabar juruterbang walaupun yang paling berpengalaman.

“Anda menghadapi medan yang sangat sukar. Cuaca boleh menjadi sangat mencabar di sana dengan keadaan angin yang sangat kuat. Anda boleh berlepas dari satu lapangan terbang dan cuaca kelihatan baik di destinasi anda, tetapi apabila tiba, cuaca boleh berubah secara radikal,” jelas Waldron.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boyd Group International, Michael Boyd berkata, penerbangan di Nepal memerlukan juruterbang mengemudi kapal di lapangan terbang yang kecil dengan landasan yang agak pendek.

“Jika ada masalah dengan kapal terbang di Nepal, tidak banyak tempat untuk dilawati. Tiada lapangan terbang alternatif sebaliknya hanyalah lereng gunung.

“Mengetahui ancaman ini, terdapat keperluan untuk mengurangkan risiko yang berkaitan dengan menggunakan teknologi moden dan latihan kru penerbangan yang lebih khusus”, katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya