BASRA: Sekurang-kurangnya dua maut dan puluhan lagi cedera dalam rempuhan yang berlaku di luar sebuah stadium bola sepak di selatan Iraq.
Memetik laporan Al Jazeera, Kementerian Dalam Negeri Iraq mengesahkan angka kematian itu dan memaklumkan kira-kira 80 orang cedera dalam insiden rempuhan tersebut.
Beberapa gambar disiarkan di media sosial menunjukkan keadaan di luar stadium Basra yang sesak dengan ribuan penyokong bola sepak sebelum perlawanan itu.
Sementara itu, AFP melaporkan, kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum perlawanan akhir Piala Teluk berlangsung di stadium tersebut.
Dilaporkan, ribuan penyokong bola sepak tanpa tiket perlawanan telah berkumpul di luar stadium di bandar Basra di selatan Iraq sejak awal pagi tadi.
Mereka berkumpul dengan harapan dapat menyaksikan perlawanan antarabangsa yang jarang berlaku di negara sendiri antara Iraq dan Oman.
Perlawanan itu dijadualkan bermula pada pukul 7 malam (waktu tempatan). – AGENSI/AFP