PETALING JAYA: Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka dan Ketua Wanita PN Pusat jika ia merupakan keputusan bersama yang dibuat secara matang dan berlandaskan kepentingan parti serta gabungan.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau sedia maklum terdapat desakan segelintir pihak yang menggesanya untuk meletakkan kedua-dua jawatan tersebut susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN.
Katanya, keputusan untuk tidak meletakkan jawatan buat masa ini bukanlah didorong oleh sebarang kepentingan peribadi atau keinginan untuk mempertahankan jawatan mahu pun kuasa.
Sebaliknya, katanya, ia dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan Perikatan Nasional di peringkat negeri.
“Pertama, hubungan antara kepimpinan PN Melaka khususnya bersama Pesuruhjaya Pas Negeri, Zulkifli Ismail serta seluruh komponen parti berada dalam keadaan yang baik, harmoni dan saling mempercayai sama ada sebelum, semasa dan selepas isu yang berlaku di Perlis.
“Tiada sebarang konflik dalaman yang menuntut peletakan jawatan saya secara tergesa-gesa,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Mas Ermieyati berkata, keduanya, PN Melaka kini sedang berada dalam fasa persiapan penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung dalam tempoh empat hingga enam bulan akan datang.
“Kesinambungan dan kerjasama erat kepimpinan amat penting bagi memastikan gerak kerja, penyusunan jentera dan strategi dapat berjalan dengan tersusun serta berkesan. Sebarang perubahan mendadak hanya berisiko melemahkan momentum yang sedang dibina bersama,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan bahawa pelantikan Pengerusi PN Negeri dan jawatan-jawatan lain terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Pengerusi PN Pusat adalah kurang tepat.
Katanya, pelantikan semua jawatan PN sama ada di peringkat pusat atau negeri adalah berdasarkan keputusan bersama Majlis Tertinggi PN melalui mesyuarat, walaupun pencalonan dibuat oleh parti komponen berdasarkan kesesuaian dan konteks setempat.
“Saya juga turut sependapat dengan Timbalan Pengerusi PN Kelantan dan Terengganu yang terlebih dahulu menyatakan dalam kenyataan masing-masing bahawa hubungan Bersatu dan Pas di negeri tersebut dalam keadaan baik dan harmoni serba tidak terjejas dengan isu yang berlaku.
“Hubungan yang harmoni tersebut sama dengan keadaan negeri Melaka. Jadi kenapa hanya kepengerusian PN negeri Melaka sahaja menjadi tumpuan dan modal tohmahan manakala kepengerusian negeri lain termasuk negeri bawah PN Kelantan, Terengganu dan Kedah yang masih dipegang oleh Pas dan Pengerusi Perhubungan Bersatu negeri mengisi jawatan Timbalan Pengerusi PN tidak pula ditimbulkan atau dipersoalkan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan supaya semua pihak dapat menghentikan sebarang polemik terbuka di media sosial yang melibatkan hubungan antara Bersatu dan Pas, khususnya berkaitan isu pertukaran Menteri Besar Perlis.
“Polemik sebegini tidak membawa manfaat kepada parti mahupun gabungan, malah hanya mengundang kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Saya percaya rakyat sedang memerhati pertelingkahan terbuka yang seolah-olah tidak berkesudahan antara dua parti utama PN yang pasti akan menghilangkan rasa hormat dan harapan mereka untuk bersama PN sebagai pilihan kepada Kerajaan Madani yang sememangnya telah menghampakan mereka,” katanya. – UTUSAN









