KANGAR: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan menarik balik pemakluman keperluan mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) di tiga kerusi DUN Perlis.
Bagaimanapun, tiga kerusi berkenaan iaitu Chuping, Bintong dan Guar Sanji tetap dikosongkan selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut terhenti keahlian Pas.
Rus’sele berkata, penarikan semula pemakluman itu dibuat menerusi surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada semalam.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas membuat pertimbangan semula berhubung perkara itu berdasarkan perkembangan mutakhir apabila Pas menetapkan keberadaan dalam kerajaan negeri selaras mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Tambahan pula, kenyataan Menteri Besar turut menyatakan jaminan untuk meneruskan agenda Perikatan Nasional (PN) yang pada masa kini masih memiliki majoriti besar di DUN Perlis.
“Maka saya mendapati majoriti DUN Perlis tidak terjejas dengan tiga kekosongan luar jangka tersebut, justeru tiada keperluan diadakan pilihan raya semula,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Khamis lalu, Rus’sele mengumumkan kekosongan luar jangka di kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas ADUN tersebut terhenti keahlian Pas susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menandantangani akuan bersumpah menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli selaku Menteri Besar pada masa itu,
Rus’sele berkata, kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji adalah kekal berkuatkuasa seadanya sebagai mana surat bertarikh 29 Disember lalu.
“Keputusan terbaru ini juga sebagai menjunjung titah Raja Perlis agar semua ADUN PN kembali bersatu dan bekerjasama sebagai satu parti demo kepentingan negeri serta rakyat,” katanya.
Beliau juga menyembah maklum kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkaitan perkembangan terbaru itu melalui warkah kepada baginda, hari ini. – UTUSAN










