Malaysia dapat kembali kuota asal 31,600 jemaah haji

Malaysia dapat kembali kuota asal 31,600 jemaah haji

MOHD. NA’IM Mokhtar ketika sesi pertemuan dengan Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di Jeddah, Arab Saudi. - FOTO IHSAN TABUNG HAJI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan semula kuota rasmi jemaah haji yang pernah ditetapkan oleh Arab Saudi pada awal 2020 lalu untuk musim haji kali ini.

Berita gembira tersebut disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menerusi hantaran dalam lamam sosialnya.

“Saya sukacita ingin mengumumkan bahawa kuota haji Malaysia yang diterima daripada kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk 1444/2023,” nukil beliau

Semalam, beliau telah bertemu Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika sesi sela Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah.

Mesyuarat khas tersebut berlangsung dengan penuh muhibah bagi membincangkan aspek persiapan musim haji akan datang khususnya untuk slot jemaah negara ini.

Malaysia pada tahun lalu cuma menerima kuota sebanyak 14,306 orang iaitu 45 peratus sahaja daripada jumlah asal sejumlah 31,600 orang yang pernah ditetapkan pada 2020.

Ia susulan tindakan Arab Saudi terpaksa mengehadkan kuota semua negara luar kepada hanya 45 peratus daripada jumlah sebelum itu susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Langkah tegas itu menyaksikan cuma sejuta jemaah berbanding sebelum pandemik yang merekodkan lebih 2.5 juta orang dengan larangan untuk individu berusia 65 tahun ke atas.

Justeru, mereka yang giliran tahun sepatutnya pada 2020, 2021 dan 2022 akan diberikan keutamaan untuk memenuhi kuota berikutnya bagi menunaikan ibadah haji musim ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im berkata, bagi pihak kerajaan Malaysia, beliau menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi.

“Saya memohon kepada semua umat Islam agar dapat bersama-sama berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan perjalanan bakal jemaah haji kali ini,” jelas beliau.

Pada masa sama, beliau memberikan jaminan bahawa Tabung Haji sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah dan mematuhi ketetapan dibuat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya