NEW DELHI: Seorang lelaki berusia 65 tahun di India menarik perhatian ramai kerana menempah sebuah patung bersaiz sebenar menyerupai mendiang isterinya agar masih dapat hidup bersama.
Lapor Oddity Central, Tapas Sandilya dari Bengal Barat berbuat demikian demi memperingati isterinya yang sudah meninggal dunia akibat Covid-19.
Menurut pesara kakitangan kerajaan itu, dia kehilangan isteri kesayangan, Indrani pada tahun 2021 semasa pandemik Covid-19.
“Indrani dibawa ke hospital sementara saya terpaksa menjalani kuarantin, jadi saya tidak dapat berada di sisinya ketika dia meninggal dunia,” katanya.
Demi memenuhi permintaan akhir isterinya, Tapas mencari artis yang boleh menghasilkan patung bersaiz manusia diperbuat daripada bahan silikon yang sama ukuran dan bentuk menyamai Indrani.
Dilaporkan, artis itu mengambil masa selama enam bulan untuk menyiapkan patung seberat 30 kilogram (kg) dan ia berharga kira-kira AS$3,000 (RM13,127).
“Kami pernah melawat kuil Iskcon di Mayapur kira-kira 10 tahun lalu dan mengagumi patung bersaiz manusia guru AC Bhaktivedanta Swami yang kelihatan sebenar.
“Ketika itu, Indrani memberitahu keinginannya untuk menghasilkan patung serupa sekiranya dia meninggal dunia sebelum saya,” katanya.
Tahun lalu, Tapas menemukan seorang pengukir yang sanggup menghasilkan patung silikon bersaiz sebenar mendiang isterinya.
Dia bekerja bersama pengukir dalam memastikan patung silikon mengikut segala keinginannya dan seiras dengan mendiang isterinya termasuk ekspresi wajah sebenar Indrani.