WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencalonkan jurucakap Jabatan Negara merangkap bekas personaliti Fox News, Tammy Bruce, sebagai Timbalan Wakil Tetap AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan taraf duta.
Dalam kenyataan di platform Truth Social pada Sabtu, Trump memuji Bruce yang telah menyertai pentadbirannya sejak penggal kedua beliau bermula pada Januari lalu, dan menyifatkan beliau telah menjalankan tugas “dengan cemerlang.”
“Dengan sukacitanya saya mengumumkan pencalonan Tammy Bruce, seorang patriot hebat, personaliti televisyen dan penulis buku laris sebagai Timbalan Wakil Tetap Amerika Syarikat ke PBB bertaraf duta,” tulis Trump.
Sebelum menyertai pentadbiran, Bruce merupakan penyumbang konservatif di Fox News selama lebih dua dekad, serta penulis beberapa buku yang mengkritik fahaman liberal, termasuk karya berjudul “Fear Itself: Exposing the Left’s Mind-Killing Agenda.”
Sepanjang perkhidmatannya sebagai jurucakap, Bruce dikenali lantang mempertahankan dasar luar AS yang kontroversi, termasuk pendirian keras terhadap isu imigresen dan langkah menghantar kontraktor ketenteraan swasta untuk mengagihkan bantuan di Gaza.
Masih Tunggu Pengesahan Senat
Setakat ini, tarikh rasmi Bruce untuk memulakan tugas belum ditentukan kerana pencalonannya perlu melalui proses pengesahan oleh Senat AS.
Turut menunggu pengesahan ialah calon Trump untuk jawatan Duta AS ke PBB, Mike Waltz.
Sementara itu, jawatan Duta ke PBB kini dipangku oleh Dorothy Shea, seorang diplomat kanan yang pernah menyandang jawatan Timbalan Duta pada tahun 2024.










