Kemasukan KJ ke PKR perlu dibincang

Kemasukan KJ ke PKR perlu dibincang

RAFIZI Ramli menyampaikan Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen, Kuala Lumpur.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyertaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang dipecat daripada UMNO sebagai ahli PKR perlu dibincangkan dalam kepimpinan parti.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau tidak boleh keseorangan membuat keputusan itu dan tanpa perlu dilakukan secara kolektif oleh semua pemimpin PKR.

Katanya lagi, desas-desus berita kemasukan Khairy ke PKR masih bersifat spekulasi dan hanyalah pramatang.

“Yang itu (penyertaan KJ) kita kena bincang dalam parti. Tetapi sekarang isu ini tidak timbul lagi, jadi tak perlu bincang lagi.

“Kalau perkara ini timbul, barulah kita bincang tetapi belum lagi, maka setakat ini jadi spekulasi sahaja,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen di sini hari ini.

Sumber Utusan Malaysia memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan Khairy dipecat daripada parti dengan serta-merta.

Perkara itu ekoran kenyataan Khairy ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 lalu yang mendakwa wujud kepincangan ketika proses pengundian usul Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Menerusi satu video di akaun Tik Tok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan.

Selain itu, UMNO menggantung keahlian Ketua Bahagian UMNO Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan; ahli MT, Datuk Dr Fathul Mat Jahya; bekas ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif dan Ketua Bahagian UMNO Tebrau, Maulizan Bujang.

Keahlian mereka digantung selama enam tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya