Kedudukan Hajiji tidak terjejas – GRS

Kedudukan Hajiji tidak terjejas – GRS

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penarikan so­kongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Sabah terhadap Datuk Seri Hajiji Noor tidak memberi kesan kepada kerajaan negeri dan keabsahan Hajiji selaku Ketua Menteri.

Kepemimpinan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam satu kenyataan bersama berkata, keabsahan Ketua Menteri hanya boleh ditentukan melalui sokongan majoriti ADUN berpandukan kepada Perlembagaan negeri.

Menurut mereka, Hajiji yang merupakan ADUN Sulaman itu masih kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan kenyataan-ke­nyataan yang dikeluarkan oleh parti politik lain tiada kesan da­ripada sudut perundangan.

“GRS merupakan sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling banyak dalam DUN Sabah. Kami mengesahkan bahawa Ahli-Ahli Dewan Unda­ngan Negeri Sabah daripada GRS berdiri teguh menyokong penuh kepemimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah,” kata gabungan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Presiden Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Presiden Sabah Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee; dan Pre­siden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sejak tiga hari lalu, timbul khabar angin Warisan dan BN Sabah mengadakan rundingan bagi membentuk kerajaan baharu dan semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar mengumumkan 13 ADUN BN menarik sokongan terhadap Hajiji atas dakwaan melanggar perjanjian persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN dan PN membentuk perjanjian bagi membentuk kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri pada 2020.

Malah, Presiden Parti Wari­san (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal melalui satu sidang akhbar semalam menegaskan bahawa Hajiji sudah kehilangan majoriti dan tidak layak untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri seperti termaktub dalam Perlembagaan Negeri.

Mengulas lanjut, pimpinan tertinggi komponen GPS itu berkata, tindakan pengumuman tersebut membuktikan bahawa wujudnya gerakan awal yang dibuat bersama Warisan untuk menggugat ketidakstabilan politik di Sabah.

Jelasnya, sebarang tindakan menggulingkan kerajaan melalui pintu belakang adalah perbuatan yang mengkhianati mandat rakyat dan sepatutnya ditolak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya