Bina skuad lebih mantap untuk Piala Asia 2023

Bina skuad lebih mantap untuk Piala Asia 2023

PERJALANAN Harimau Malaya di Piala AFF berakhir di separuh akhir.-IHSAN Flashsukan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu memperbaiki beberapa aspek penting jika mahu tampil cemerlang pada aksi Piala Asia 2023 yang dilihat saingannya lebih sengit berbanding Piala AFF.

Penganalisis sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, tewas 3-0 kepada Thailand kelmarin menampakkan beberapa kelemahan ketara skuad Harimau Malaya bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon.

“Malam tadi (kelmarin) nampak ketara kelemahan kita selain skuad Gajah Perang juga bermain dengan baik. Tahap kecergasan pemain kita perlu dipertingkatkan terutamanya selepas permainan bertukar menjadi laju.

“Dalam soal hantaran juga banyak tersekat-sekat dan menyebabkan kita cepat hilang bola dan menyukar bahagian pertahanan. Kita juga gagal imbangi serta kawal pemain lawan yang mempunyai kemahiran lebih tinggi.

“Kita jelas boleh nampak seolah-olah pemain kita tiada keserasian dan tidak dapat berkomunikasi dengan baik. Apabila sering hilang bola, itu akan memenatkan lagi pemain untuk kawal kembali permainan.

“Jadi, aspek-aspek sebegini perlu diperbaiki untuk kita mara lebih jauh dan memberi saingan yang lebih hebat di saingan Piala Asia 2023 yang disertai pasukan gergasi-gergasi Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia,” semalam.

Terdahulu, impian Malaysia untuk mara ke final Piala AFF 2022 berkecai selepas ditundukkan Thailand 3-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, kelmarin.

Berkelebihan satu gol daripada aksi pertama, anak buah Pan Gon tidak mempunyai jawapan untuk mengekang asakan Thailand yang mengesahkan tiket ke final Piala AFF dengan agregat 3-1.

Ditanya tentang taktikal dan strategi yang digunakan Pan Gon ketika ini, Pekan berkata, perkara itu sangat subjektif dan jika pemain baharu yang diturunkan dapat laksanakan tugas dengan baik, cerita dan skripnya akan berubah.

“Kita hormati segala perancangan Pan Gon, memang ada perubahan selepas dia ambil alih. Dia (Pan Gon) turunkan pemain atas posisi masing-masing untuk imbangi corak permainan Thailand yang berintensiti tinggi,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya