Warga emas tumbuk gajah selepas diserang

Warga emas tumbuk gajah selepas diserang

SHUKRI Hassan (tiga dari kanan) semasa menerima lawatan dari Ketua Jajahan selepas kejadian diserang seekor gajah di Kampung Lata Janggut, Jeli, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Hanya dengan tangan ko­­song, seorang warga emas mengerah kudrat menumbuk seekor gajah yang menyerang­nya di kebun gerah di Kampung Lata Janggut, Batu Melintang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, Shukri Hassan, 68, cedera di kepala dan pergelangan tangan kanan selepas terjatuh dari motosikal ketika cuba melarikan diri da­ripada serangan haiwan ber­kenaan.

Menceritakan detik cemas itu, Shukri berkata, sebaik sahaja memasuki kawasan kebun getah, dia terkejut melihat se­ekor gajah berada di hadapannya.

Katanya, dia menghentikan motosikal sebelum berpatah balik untuk menyelamatkan diri namun gajah liar itu mengejarnya.

“Gajah itu menghampiri dan menyerang saya yang ketika itu sedang menunggang motosikal sehingga terjatuh. Haiwan itu cuba menyerang sekali lagi dan saya hanya mampu menumbuknya untuk menyelamatkan diri. Gajah itu kemudian me­larikan diri ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Shukri berkata, dia disela­matkan penduduk kampung kira-kira pukul 10.45 pagi sebelum dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kejadian itu adalah kali pertama dialaminya sepanjang empat tahun menoreh getah di kawasan berkenaan.

“Saya bersyukur kerana ter­selamat dan kejadian ini tidak mematahkan semangat untuk terus menoreh getah yang me­rupakan punca utama pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mu­kim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa berkata, kehadiran gajah liar di kawasan berkenaan disedari sejak se­minggu lalu dan perkara itu sudah berada dalam pengetahuan Jabatan Perlin­dungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Katanya, salah seekor daripada tiga haiwan berkenaan telah ditangkap.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×