Kursi UNESCO kukuhkan TVET negara

Kursi UNESCO kukuhkan TVET negara

PROGRAM Pengembaran Universiti atau Kursi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memperkukuh peranan pendidik dalam membentuk tenaga kerja Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan teknologi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA meletakkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai agenda utama negara menerusi strategi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan Dasar TVET Negara 2030. 

Pelbagai inisiatif dirangka bagi membangunkan modal insan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah berdaya tahan, kreatif, inovatif serta mampu memenuhi keperluan industri masa hadapan.

Pendekatan ini penting bagi memastikan negara mempunyai tenaga kerja yang mampu bersaing dalam ekonomi global yang semakin dipacu pengetahuan dan teknologi. Dalam perkembangan tersebut, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda pembangunan pendidikan di peringkat antarabangsa.

UNESCO merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempromosikan keamanan, pembangunan mampan dan kerjasama antarabangsa melalui pendidikan, sains, budaya serta komunikasi. 

Malaysia menjadi anggota UNESCO sejak 1958 dan terus aktif dalam pelbagai program serta inisiatif pendidikan di peringkat global.

Program Pengembaran Universiti (UNITWIN/Kursi) UNESCO ialah antara inisiatif penting UNESCO yang diperkenalkan pada 1992. Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama akademik, penyelidikan, pembangunan kapasiti dan perkongsian ilmu antara institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia.

Malaysia turut menjadi antara negara yang aktif dalam rangkaian Kursi UNESCO. Sehingga kini, tujuh Kursi UNESCO diwujudkan dalam pelbagai bidang strategik. Antaranya mengenai Amalan Sosial dalam Komunikasi Antara Budaya dan Kesepaduan Sosial di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ekohidraulik untuk Infrastruktur Air Lestari bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6 (Universiti Sains Malaysia, USM), Kajian Masa Hadapan: Antisipasi untuk Kelestarian dan Kesejahteraan (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM), Genetik Manusia Talasemia (USM), Pemanfaatan Inovasi Teknologi untuk Menyokong Guru dan Pembelajaran Berkualiti (Universiti Asia Pasifik, APU), Pendidik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, UTHM), serta Warisan Manuskrip Laluan Sutera (Universiti Malaya, UM).

Kepelbagaian bidang tersebut mencerminkan pengiktirafan UNESCO terhadap kepakaran institusi pendidikan tinggi Malaysia dalam menyumbang kepada agenda pembangunan global.

UTHM mencipta sejarah apabila memperoleh pengiktirafan sebagai institusi pemegang Kursi UNESCO mengenai Pendidik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional bagi tempoh 2025 hingga 2029.

Keistimewaan Kursi UNESCO ini terletak pada tumpuan khusus terhadap pembangunan kompetensi pendidik TVET, berbanding sebahagian besar Kursi UNESCO lain yang lebih menjurus kepada bidang penyelidikan atau pembangunan ilmiah tertentu.

Dalam era perubahan teknologi yang pantas, kejayaan ekosistem TVET bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal dan peralatan moden. Keupayaan pendidik membimbing, melatih serta membentuk modal insan yang mampu menghadapi Revolusi Perindustrian, transformasi digital dan ekonomi masa hadapan turut menjadi penentu penting.

Selaras dengan mandat rasmi Kursi UNESCO mengenai Pendidik TVET, tiga objektif utama diberi perhatian.

Pertama, memperkasa kemahiran rentas bidang dalam kalangan pendidik TVET melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi kesedaran keselamatan digital serta penerapan etika dalam amalan pendidikan dan latihan.

Kedua, membangunkan program pendidik TVET yang inklusif gender bagi menggalakkan kepelbagaian, membentuk budaya inklusif serta memperluas peluang kemajuan kerjaya dan kepimpinan dalam kalangan pendidik dan pelajar TVET.

Ketiga, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan TVET hijau dengan mengintegrasikan kemahiran hijau dalam program latihan pendidik. Usaha ini memastikan tenaga pengajar mempunyai pengetahuan, kemahiran, peralatan dan sumber yang mencukupi untuk menerapkan prinsip kelestarian dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Ketiga-tiga aspek berkenaan, iaitu pembangunan kompetensi pendidik, kesaksamaan gender dan pembangunan mampan, amat sejajar dengan aspirasi TVET Termaju yang sedang diperkasakan dalam rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

TVET Termaju menekankan penggunaan teknologi canggih, penyelidikan gunaan, inovasi industri, pendigitalan pendidikan serta pembangunan bakat bertaraf global. Pendekatan ini memperluas kefahaman bahawa TVET bukan sekadar latihan kemahiran teknikal.

TVET masa hadapan memerlukan tenaga pengajar yang mampu menguasai teknologi baharu, menerapkan kemahiran rentas bidang dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. 

Dalam konteks ini, pendidik bukan lagi sekadar penyampai ilmu, sebaliknya turut berperanan sebagai pembimbing, pemudahcara, inovator dan ejen perubahan dalam transformasi pendidikan.

Aspirasi Kursi UNESCO ini juga selari dengan RMK13 dan Dasar TVET Negara 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, peningkatan produktiviti tenaga kerja, pengukuhan daya saing negara, pendigitalan pendidikan, kerjasama industri serta peningkatan kompetensi tenaga pengajar.

Kursus dan program pembangunan kapasiti, penyelidikan bersama, pembangunan modul latihan, penerbitan ilmiah, seminar dalam talian antarabangsa, pertukaran akademik serta jaringan strategik dengan institusi terkemuka dunia boleh menjadi antara wadah untuk menterjemahkan aspirasi tersebut.

Lebih penting, Kursi UNESCO berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan Malaysia dengan rangkaian pakar, universiti dan institusi TVET terkemuka di seluruh dunia. Jaringan antarabangsa ini membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik, penyelidikan bersama, pembangunan dasar serta inovasi pendidikan yang dapat memperkukuh ekosistem TVET negara.

Pada masa sama, kerjasama tersebut berpotensi meningkatkan keterlihatan Malaysia sebagai hab rujukan TVET di rantau Asia dan peringkat global.

Kewujudan Kursi UNESCO turut memberi manfaat kepada institusi pendidikan, industri dan masyarakat menerusi penghasilan penyelidikan berimpak tinggi, pembangunan bakat yang lebih menepati keperluan industri serta pengukuhan hubungan antara institusi akademik dengan sektor pekerjaan.

Dalam jangka panjang, usaha ini dapat menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran graduan, produktiviti tenaga kerja dan daya saing ekonomi negara.

KERJASAMA RENTAS SEKTOR

Kejayaan transformasi TVET tidak boleh digalas oleh institusi pendidikan tinggi semata-mata. Kerjasama erat antara kerajaan, industri, universiti, badan profesional dan masyarakat merupakan asas penting untuk memastikan agenda tersebut dapat dilaksanakan secara berkesan.

Penubuhan Kursi UNESCO mengenai Pendidik TVET di UTHM membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasakan pendidikan teknikal dan vokasional negara. Jika dimanfaatkan sepenuhnya, inisiatif ini bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem TVET global, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan modal insan masa hadapan yang berkemahiran tinggi, beretika, inklusif, lestari dan berdaya saing.

Pengukuhan kompetensi pendidik, peluasan jaringan antarabangsa dan pemerkasaan inovasi pendidikan akan menjadikan Kursi UNESCO sebagai antara pemacu penting dalam merealisasikan aspirasi TVET Termaju, Dasar TVET Negara 2030 dan RMK13 demi pembangunan serta kemakmuran Malaysia. –UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Tee Tze Kiong ialah Ketua Jabatan Penyelidikan, Inovasi dan Konsultasi, Institut Penyelidikan Pendidikan dan Latihan Vokasional Malaysia (MyRIVET), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×