PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizul Hasni Awang dalam landasan terbaik untuk memulakan semula misi pingat emas Sukan Olimpiknya apabila akan mengharungi jadual padat sepanjang tahun 2023 bagi memburu penampilan kelima di temasya itu.
Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh menjelaskan Azizul masih mempunyai semangat dan sentuhan juara biarpun sebelum ini terpaksa berehat panjang kerana menghadapi masalah jantung.
Azizul pamer aksi membanggakan minggu lalu apabila meraih pingat emas dan masing-masing dalam acara pecut dan keirin pada edisi ke-125 Austral Wheelrace di Melbourne, Australia selepas lapan bulan tidak beraksi di peringkat kompetitif.
Justeru kalendar padat Azizul akan bermula Februari depan di Kejohanan Piala Negara Negara membabitkan tiga venue berlainan iaitu di Jakarta, Mesir dan Kanada, disusuli Kejohanan Trek Asia di Nilai pada Jun, kemudiannya Kejohanan Dunia di Glasgow pada Ogos.
“Sebenarnya dia baru sahaja pulih daripada menjalani pembedahan jantung lapan bulan lalu, dia seorang yang sangat kuat dan dalam keadaan yang baik dalam proses pemulihan, dan saya sempat menghubungi jurulatihnya, John Beasley dan dia amat berpuas hati dengan perkembangan Azizul.
“Jadi selepas ini dia akan menyertai beberapa siri Kejohanan Negara-Negara bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik, kemudian Kejohanan Trek Asia, jadi untuk tempoh enam bulan ini, akan menjadi waktu yang amat sibuk dan padat buat Azizul,” jelas Amarjit.
Azizul mula membuat penampilan di Sukan Olimpik Beijing 2008 dan pernah diberikan amanah sebagai pembawa bendera di temasya itu.
Bagaimanapun Azizul terpaksa menanti selama lapan tahun untuk menggenggam pingat pertama di temasya itu apabila meraih pingat gangsa di Rio 2016 menerusi acara keirin, dan kemudian memperbaiki pencapaiannya di Tokyo 2020 dengan meraih pingat perak dalam acara sama.-UTUSAN