PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan dirinya terlibat dalam pertemuan di Bangkok yang didakwa sebagai ‘Langkah Bangkok’.
Beliau berkata, dirinya tidak menghadiri atau terlibat dalam sebarang pertemuan seperti yang dilaporkan pihak tertentu.
“Merujuk kepada kenyataan beberapa pihak, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak terlibat dalam sebarang pertemuan di Bangkok yang dirujuk sebagai ‘Langkah Bangkok’.
“Sebarang pertemuan atau perbincangan yang dikaitkan dengan perkara tersebut tidak melibatkan saya dan tiada kaitan dengan saya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat malam.
Ahmad Samsuri turut berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau mengaitkan namanya dengan perkara yang tidak berlaku.
Terdahulu media melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin tahun lalu bagi membincangkan isu penyatuan parti Melayu dan Islam.
Menurut laporan media, beberapa sumber parti politik mendakwa selain Hamzah, Ahmad Zahid juga dikatakan bertemu Ahmad Samsuri serta Timbalan Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – UTUSAN










