Harimau Malaya dipaksa kerja keras, sebelum menang

Harimau Malaya dipaksa kerja keras, sebelum menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaringan Faisal Halim dan aksi menyelamat Ahmad Syihan Hazmi berjaya membantu Harimau Malaya membuka kempen Piala AFF dengan langkah kanan selepas menewaskan Myanmar 1-0 dalam aksi pertama Kumpulan B di Stadium Thuwunna, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga meleraikan badi kekalahan sejak 2016 sekali gus memadamkan rekod buruk beraksi di gelanggang keramat Myanmar itu, malah ia meletakkan skuad bimbingan Kim Pan-gon itu dilandasan tepat untuk cuba melepasi peringkat kumpulan.

Faizal ketika ditemu bual selepas perlawanan melahirkan rasa syukurnya dapat membantu Malaysia mengutip tiga mata penuh.

“Kemenangan ini untuk semua dan Malaysia mempamerkan semangat juang yang tinggi walaupun saya akui kami bergelut sewaktu separuh masa pertama.

“Apabila permainan disambung semula, kami bermain lebih agresif dan ia ternyata berhasil setelah berjaya mendapatkan gol tunggal perlawanan,” katanya.

Dalam aksi yang berlangsung di depan 2,500 penyokong tuan rumah itu, Pan Gon hanya membuat satu pertukaran dalam kesebelasan utama daripada aksi pemanas badan terakhir ketika menundukkan Maldives 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras minggu lalu.

Tonggak Sabah, Stuart Wilkin menjadi pilihan berbanding pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal untuk mengemudi jentera tengah bersama Brendan Gan.

Pasukan kebangsaan bermula agak perlahan di awal 20 minit pertama apabila diasak hebat skuad kendalian Antoine Hey menerusi beberapa percubaan berbahaya ke benteng negara.

Percubaan Hein Htet Aung di luar kotak penalti yang sedikit tersasar di minit kelapan, sebelum giliran Aung Kaung Mann pula berjaya dihadang pertahanan negara 10 minit kemudian memberi amaran awal kepada pasukan negara.

Memasuki lima minit terakhir, Faisal berjaya melakukan rembatan dari luar kotak penalti namun bola melambung tinggi sekaligus mengakhiri babak pertama tanpa jaringan.

Bersambung separuh masa kedua, Pan Gon membuat percaturan bermain tanpa penyerang tulen apabila mengeluarkan Darren Lok dan memasukkan pemain naturalisasi, Lee Tuck yang lebih selesa mengemudi bahagian tengah.

Kemasukan Tuck nyata mengubah corak permainan Malaysia apabila dia memulakan gerakan gol pertama apabila berjaya merampas bola sebelum Safawi Rasid melorongkan bola cantik kepada Faisal yang mudah menyempurnakan dengan jaringan pada minit ke-52.

Tersentak dengan jaringan itu, tuan rumah melancarkan serangan bertali arus ke gawang skuad kebangsaan namun dinafikan dengan aksi cemerlang benteng pertahanan dan juga Syihan.

Ketika permainan hampir menuju ke penamat, kesilapan tonggak pertahanan Sharul Nazeem yang tertampan bola di dalam kotak penalti menyaksikan pengadil dari Jordan, Ahmad Faisal Mohammad Al Ali tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, Syihan muncul wira apabila berjaya menafikan sepakan Myat Kaung Khant untuk memastikan kemenangan tiga mata berharga berjaya di bawa pulang ke tanah air.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya