Najib perlu selesai baki hukuman di penjara

Najib perlu selesai baki hukuman di penjara

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menyelesaikan baki hukumannya di penjara dan bukan menjalani tahanan di rumah.

Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Asraf Sharafi berkata, pihaknya yang mewakili 47 pertubuhan masyarakat sivil dan belia serta badan pelajar membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha Lembaga Pengampunan untuk memberikan tahanan di rumah kepada Najib dalam mesyuaratnya esok.

“Beliau (Najib) perlu menjalani baki hukumannya di penjara.Mengapa kes beliau diberi keutamaan sedangkan ramai banduan biasa masih menunggu peluang untuk memohon pengampunan?

“Najib sudah menerima pengurangan hukuman pada Februari 2024 daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta,” katanya kepada pemberita di pejabat BERSIH di Petaling Jaya, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh sebelum ini mengesahkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan diadakan esok.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas ketika ditanya sama ada lembaga berkenaan akan membincangkan sebarang permohonan membabitkan Najib.

Dalam pada itu, Asraf berkata, pemberian tahanan di rumah ataupun pengampunan kepada Najib dilihat tidak praktikal selagi bekas Presiden UMNO itu masih berdepan beberapa kes mahkamah berprofil tinggi lain, termasuk pertuduhan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masih berjalan.

Katanya, pemberian layanan istimewa kepada individu berprofil tinggi, akan mewujudkan dua darjat yang berbahaya serta menjejaskan prinsip kedaulatan undang-undang.

“Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa golongan elit politik boleh mengambil jalan pintas untuk mengelak hukuman, sedangkan rakyat biasa berdepan sepenuhnya kekuatan undang-undang.

“Membenarkan tahanan di rumah atau pengampunan kepada Najib, boleh mencabar nilai moral masyarakat, selain memberi mesej bahawa wang serta kuasa menentukan apa yang betul dan apa yang salah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×