PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) berharap sebarang rundingan persefahaman politik bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu dilakukan lebih awal dan tidak menunggu sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu bagaimanapun terpulang kepada kerajaan negeri.
“Kita kalau lagi awal, lagi bagus. Dia cakap lagi lambat, lagi bagus. Jadi, kita menikmati apa yang sedap itu awal. Dia suka makan lauk itu lambat. Lepas dia dah kenyang. Macam itulah,” katanya ketika ditemui selepaas sesi libat urus Belanjawan Negeri Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang mahu sebarang rundingan berhubung persefahaman politik dalam PRN Melaka dilakukan selepas pembubaran DUN.
Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata, PH tidak menolak kemungkinan bergerak solo pada PRN Melaka akan datang jika tiada sebarang kerjasama diputuskan.
Menurutnya, semua kemungkinan sudah diambil kira termasuk senario pertandingan tanpa kerjasama dengan parti lain, malah perkara itu telah dibentangkan kepada pimpinan PH beberapa hari lalu.
“Itu semua kemungkinan ada. Yang satu kemungkinan ini tak ada. Iaitu kita boikot pilihan raya itu tak ada. Jadi yang paling penting, kita akan menyertai pilihan raya dengan pelbagai versi.
“Dalam PRN Melaka, lawan tetap lawan. Setakat ini, yalah, bubar pun belum lagi. Masa masih ada lagi, insya-Allah kita akan tengok keadaan,” katanya.
Katanya, pihaknya akan cuba meyakinkan rakyat kerana akhirnya, kertas undi itu yang akan menentukan kemenangan bukannya suara ataupun perbincangan sebelum pilihan raya.
Jelasnya lagi, formula politik ketika ini sangat cair sehingga menyebabkan proses ‘trial and error’ berlaku dalam menentukan bentuk kerjasama yang sesuai. – UTUSAN










