Bekas banduan menyamar peguam dipenjara, sebat

Bekas banduan menyamar peguam dipenjara, sebat

P. MANIARASAN dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas kesalahan menipu dan menyamar sebagai peguam membabitkan kerugian RM3,116 pada Ogos lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang penganggur dihukum penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas kesalahan menipu dengan menyamar sebagai peguam membabitkan kerugian RM3,116, Ogos lalu.

Majistret Nur Atiqah Sapari menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, P. Maniarasan, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menipu M. S. Chandran, 31, dengan memperdayakan mangsa bahawa dia seorang peguam bertauliah dan menjanjikan khidmat perundangan yang tidak wujud.

Tindakan tertuduh itu mendorong mangsa memberikan wang berjumlah RM3,116 secara tunai dan transaksi dalam talian.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Janaview Condotel di Taiping Golf Resort dekat sini masing-masing pada pukul 5 petang, 8 Ogos 2022 dan 1.51 petang, 12 Ogos 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala Maniarasan diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), T. Selva.

Bagi pertuduhan pertama, Nur Atiqah menjatuhi hukuman penjara satu tahun dan satu sebatan manakala penjara 18 bulan dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua hukuman penjara berkenaan diperintahkan berjalan serentak.

Pada prosiding di mahkamah sama, tertuduh yang juga seorang bekas banduan didakwa mencuri dua utas rantai milik dua individu dalam sebuah bangunan yang dijadikan kediaman di Jalan Azizul Rahman, Taiping antara pukul 4 petang pada 3 Mei 2022 hingga 3 pagi pada 5 Mei 2022.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan itu, Nur Atiqah menjatuhi hukuman penjara satu tahun kepada tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya