Ada kesan cucuh besi panas, pukul badan termasuk kemaluan

Ada kesan cucuh besi panas, pukul badan termasuk kemaluan mangsa – Polis

KAMARUL ZAMAN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis mengesan kesan dicucuh besi panas, kesan dipukul di seluruh badan mang­sa termasuk kemaluan pada badan kanak-kanak lelaki yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ka­marul Zaman Mamat turut me­ngesahkan kanak-kanak berusia empat tahun itu meninggal du­nia didera angkara perbuatan ahli keluarganya sendiri.

“Saya baharu keluar daripada bilik mayat dan melihat secara ringkas keadaan jenazah dan ia memang amat menyedihkan.

“Hampir seluruh badan mang­sa, dari kepala sampai ke kaki terdapat kecederaan. Kesan-kesan cedera ini mungkin dipukul dan terdapat juga kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan termasuk kema­luan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSI semalam.

Mangsa yang dikejarkan ke HSI bagi mendapatkan rawatan sejak Jumaat lalu menghembus nafas terakhir kira-kira pukul 6.40 petang semalam.

Kejadian itu terbongkar selepas seorang lelaki berusia 23 tahun membuat laporan polis memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik di Senggarang, Batu Pahat sebelum dikejarkan ke HSI.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mena­han lima individu berusia 15 hingga 37 tahun di sekitar Senggarang antara 12 tengah hari sehingga 9.45 malam, Sabtu lalu.

Dua lelaki dan tiga wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kes dera berkenaan termasuk kakak kandung mangsa dan suaminya serta rakan kakak kandung mangsa itu.

Kamarul Zaman berkata, pi­haknya turut merampas peralatan yang didakwa digunakan untuk mendera mangsa antaranya batang besi 29 inci, pe­nyangkut baju, jaring penutup kipas serta cadar dan sarung bantal.

Tambahnya, siasatan awal mendapati, mangsa difahamkan telah dijaga kakak kandungnya selepas kedua-dua ibu bapa mangsa dimasukkan ke penjara atas kesalahan penyalahgunaan dadah.

Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada rakan kakak kandung mangsa untuk dijaga.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 25 hingga 31 Disember ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Pada awalnya kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 namun polis mengklasifikasikan semula kes akibat kematian mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya