60 pembeli kecewa pemaju gagal siapkan rumah - Utusan Malaysia

60 pembeli kecewa pemaju gagal siapkan rumah

SEBAHAGIAN pembeli rumah teres dan banglo berkembar berkumpul mendesak pemaju menyiapkan rumah mereka di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit, Kuala Nerus, semalam. – utusan/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Seramai 60 pembeli rumah di sebuah projek perumahan di Kampung Mengabang Kapal, Baru Rakit di sini kesal terhadap syarikat pemaju terlibat yang didakwa gagal menyiapkan kediaman mereka mengikut masa dijanjikan.

Mereka mendakwa, projek pembinaan rumah teres dan banglo berkembar tersebut terbengkalai walaupun status pembinaan beberapa unit sudah melebihi 50 peratus.

Lebih merunsingkan apabila pemaju terbabit gagal dihubu­ngi walaupun sudah membuat perjanjian jual beli sejak 2016 menyebabkan pembeli sudah ‘mati akal’ mencari jalan penyelesaian.

Seorang pembeli, Mohd. Faizal Zainol, 42, mendakwa, unit rumah banglo berkembar yang dibeli pada harga RM411,000 sepatutnya diserahkan pada 2018, namun, tiada khabar be­rita sehingga ke hari ini.

Menurutnya, walaupun masih belum menghuni rumah tersebut, dia tetap membayar pinjaman perumahan sebanyak RM1,850 sebulan sekali gus menambah beban kewangannya.

“Niat saya membeli rumah ini kerana sudah tidak mahu hidup menyewa sebaliknya terpaksa menanggung kos dua buah rumah termasuk yang disewa ketika ini sebanyak RM600 sebulan.

“Sekarang ini pun, struktur binaan sudah banyak yang rosak. Malah, sekitar kawasan rumah juga sudah dinaiki lalang dan semak-samun. Kami semakin tertekan memikirkan masalah ini.

“Saya tidak tahu bila dapat menghuni rumah impian kami, mungkin lima atau 10 tahun lagi, itu pun jika pihak pemaju boleh dikesan atau ada jalan penyelesaian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pembeli unit rumah teres, Nazifah Abdullah, 40, berkata, pihak pemaju dan kontraktor gagal dihubungi sejak tahun kedua pembelian iaitu April 2017 selain turut dijanjikan pelbagai janji manis.

Katanya, aduan juga dibuat termasuk kepada Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.

Malangnya, dia mendakwa, tiada maklum balas positif di­terima mereka walaupun telah turun naik pejabat sejak beberapa tahun lalu dengan pelbagai bukti dokumen jual beli.

“Pemaju menyekat nombor telefon kami dan ketika ke pejabat peguam yang dilantik, banyak alasan diberikan. Malah, saban tahun mereka berjanji akan menyerahkan kunci rumah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN