PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Jakarta hari ini bagi memulakan lawatan rasmi ke Indonesia untuk memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama strategik kedua-dua negara.
Pesawat yang membawa Anwar serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur sekitar pukul 1 tengah hari waktu tempatan dan disambut Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Anwar berkata, lawatan itu adalah kesinambungan kepada kunjungan Prabowo ke Kuala Lumpur Mei lalu sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46.
“Saya telah selamat tiba di Jakarta bagi bertemu sahabat saya, Presiden Republik Indonesia, bapak Prabowo Subianto. Kunjungan ini bertujuan memperkukuh lagi hubungan dua hala serta memperluas kerjasama strategik Malaysia–Indonesia,” katanya dalam hantaran di platform Facebook.
Ketibaan Perdana Menteri diberi penghormatan memeriksa barisan kawalan kehormatan oleh Pasukan Keselamatan Presiden, disusuli dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara.
Kedua-dua pemimpin turut memperkenalkan delegasi masing-masing, sebelum merakamkan gambar bersama dan menandatangani buku pelawat.
Yang turut serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Lawatan itu turut melibatkan mesyuarat dua hala lanjutan menteri-menteri kedua-dua negara.
Mesyuarat dijangka memberi tumpuan kepada bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, komunikasi, komoditi dan hal ehwal serantau.
Ia juga merupakan sebahagian daripada persiapan menjelang Perundingan Tahunan Malaysia–Indonesia Ke-13 yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini. – UTUSAN









