Main isu wanita, Sanusi tertinggal - Utusan Malaysia

Main isu wanita, Sanusi tertinggal

MASHITAH IBRAHIM (kiri) dan MAIZATULAKMAM OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KEDAH: Kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas mempertikai kemampuan wanita menjadi wakil rakyat sebagai langkah terkebelakang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon wanita Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Kedah, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Muhammad Sanusi ketinggalan memandangkan dunia hari ini sudah mengangkat martabat dan kedudukan wanita pada tahap lebih tinggi.

“Saya kesal dengan kenyataan Menteri Besar sebab ia merendahkan wanita dengan mengatakan tak adakah lelaki nak jadi calon (Pilihan Raya Umum ke-15). Sedangkan dalam konvensyen berkaitan diskriminasi terhadap wanita, satu dunia sudah mahu beri kuota 30 peratus terhadap penglibatan kami dalam politik.

“Nampak sangat beliau tidak mengikuti perkembangan antarabangsa sedangkan dunia sudah memberikan tempat kepada wanita, tetapi di Kedah ini ada orang yang bercakap ke belakang. Kita di sini nak bagi wakil rakyat kepada wanita jadi isu pula,” katanya ketika ditemui, semalam.

Muhammad Sanusi dalam siri ceramahnya sebelum ini termasuk di Sik kelmarin menyatakan wanita tidak sesuai menjadi wakil rakyat dan BN yang memiliki ramai calon lelaki tetap memilih wanita sebagai wakil mereka sedangkan tanggungjawab wakil rakyat tidak tentu masanya.

Justeru, Mashitah meminta Muhammad Sanusi agar mengingati pesan Rasulullah yang meminta kebajikan wanita sentiasa dijaga termasuk mengangkat martabat mereka di kedudukan sewajarnya. 

“Beliau memang tak bacakah apa yang Rasulullah buat pada wanita? Nabi sentiasa berpesan supaya angkat martabat wanita, jangan lupa orang lelaki baca khutbah mimbar, namun yang mereka mimbar itu adalah seorang wanita.

“Kalau tak mahu bagi kedudukan macam mana wanita nak pejuang haknya, kasihan kepada orang Pas dan sedih kepada Dewan Muslimat Pas kerana pemimpin dalam parti mereka pun tak pejuang hak mereka,” katanya.

Sementara itu, calon wanita BN Parlimen Sik, Maizatul Akmam Othman turut kesal dengan kenyataan Muhammad Sanusi yang dianggap menghina wanita sebagai wakil rakyat.

“Memang kenyataan tersebut ada ditujukan kepada saya sebagai calon di sini, namun ia seolah-olah memperkecilkan kemampuan wanita secara keseluruhan. Kenyataan itu berat sebelah, saya tak melihatnya dalam konteks Sik sahaja tetapi soal kaum wanita. 

“Parti lain pun ada calon wanita, di tempat lain pun ada parti letak calon wanita. Malah dalam Pas pun ada calon Muslimat bertanding. Saya anggap ini satu penghinaan kepada kaum wanita,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Maizatul Akmam berkata, di bawah pentadbiran Muhammad Sanusi juga terdapat Exco dalam kalangan wanita seperti Datuk Suraya Yaacob sebelum ini yang berkhidmat lebih cemerlang berbanding Exco lelaki. 

“Saya juga ingin tahu apa perasaan Datuk Siti Ashah Ghazali (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan negeri) yang juga Muslimat Pas. Sepatutnya, kita nilai seseorang berdasarkan kemampuannya bukan gender, beliau kena minta maaf kepada semua wanita,” katanya.

Selain Mashitah dan Maizatul Akmam, dua lagi calon wanita BN yang bertanding di Kedah ialah Suraya (Pendang) dan Datuk Shahanim Mohamad Yusoff (Sungai Petani), manakala Pakatan Harapan menampilkan Nor Azrina Surip (Merbok) dan Datuk Latifah Md. Yatim (Sik) serta seorang calon Warisan, Noraini Md. Salleh (Pokok Sena). -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya