DOHA: Kejayaan England membelasah Iran 6-2 di Piala Dunia menyaksikan harga tiket yang dijual dalam talian mencecah sehingga 2,500 pound (RM13,575).
Harga itu dijual 50 kali ganda daripada harga asal oleh ulat tiket kepada penyokong yang mahu menyaksikan perlawanan England seterusnya dalam Kumpulan B.
Laman web Ticombo yang menjual semula tiket mendakwa memiliki 500 tiket untuk aksi England menentang Amerika Syarikat dan Wales tetapi tiada jaminan bahawa mereka yang membeli daripada ulat tiket akan dibenarkan masuk ke stadium.
Penyokong perlu menunjukkan nombor permohonan tiket yang diperolehi ketika membelinya daripada laman web rasmi FIFA sebelum memohon permit memasuki Qatar.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada penyokong boleh mendapatkan kod itu jika membelinya daripada ulat tiket dalam talian.
FIFA memaklumkan telah menerima 23 juta permohonan untuk tiga juta tempat duduk bagi menyaksikan kejohanan dengan tiket perlawanan peringkat kumpulan habis dijual empat bulan lalu.
“Tempat duduk membabitkan perlawanan England seterusnya paling laris di bandar ini sejak malam tadi,” menurut sumber Qatar 22.-AGENSI