KUALA LUMPUR: Pas berharap kemelut dalaman yang sedang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat diselesaikan secara bijaksana demi memastikan kekuatan serta kestabilan Perikatan Nasional (PN) terus kukuh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, walaupun Pas tidak mencampuri urusan dalaman Bersatu, penyelesaian secara harmoni adalah penting bagi memastikan gabungan itu mampu berdepan PRU16 dengan lebih tersusun dan bersatu.
“Ini isu dalaman Bersatu, kami tidak campur tangan. Cuma kita berharap perkara yang berlaku dapat diselesaikan dengan cara baik untuk kekuatan PN menghadapi pilihan raya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan agar sebarang isu dalaman parti diselesaikan secara tertutup, bukan diperdebatkan secara terbuka, sebagaimana pesanan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Ingat pesanan Tuan Guru Nik Aziz, masalah rumah tangga ini orang tidak cakap di kedai kopi. Itu pesanan Tuan Guru sejak dulu lagi,” ujarnya.
Mohd. Amar turut menjelaskan bahawa Pas tidak pernah membincangkan isu calon Perdana Menteri dalam kalangan kepimpinan parti.
“Siapa nak jadi Perdana Menteri, sama ada daripada kita (Pas) atau kawan kita (Bersatu), tidak pernah dibincangkan. Keutamaan kita adalah menang dahulu dalam pilihan raya. Bila kita menang, barulah kita bincang (siapa jadi PM),” katanya.
Kenyataan Mohd. Amar hadir susulan dakwaan kemelut dalaman dalam Bersatu apabila dikatakan wujud dua kem membabitkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dakwaan itu semakin ketara apabila Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan melakukan serangan terbuka ke atas Setiausaha
Agungnya, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali termasuk mengungkit itu video intim yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu.
Dakwaan Wan Saiful itu mendapat reaksi balas daripada Azmin yang menyifatkannya sebagai fitnah yang tidak munasabah.
Serangan terbuka Wan Saiful itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada kepimpinan Bersatu di peringkat negeri dan pusat termasuk desakan supaya beliau dipecat kerana didakwa bertindak melampau batas.
Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin turut menggesa Bersatu agar segera menyelesaikan masalah dalaman mereka bagi mengelakkan sebarang kesan terhadap kekuatan PN secara keseluruhan.
“PN perlu terus diperkukuh. Jadi kalau ada bahagian yang agak lemah oleh satu-satu parti, kita minta supaya diselesaikan dalam kalangan parti itu. Kita harap mereka berjaya,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Pas tidak pernah berhasrat mengambil alih kepimpinan PN sekiranya isu itu berlarutan.
“Tak adalah sampai, kalau tak selesai kita ambil alih PN. Tidak. Kita tak sebut benda itu. Tapi masa akan datang kita tengoklah bagaimana keadaannya,” jelas beliau.
Menurut Hashim, pergeseran dalam kalangan parti politik menjelang pilihan raya merupakan lumrah, namun yakin pimpinan PN memiliki kebijaksanaan untuk menangani perkara itu secara baik dan berhemah.
“Masalah dalam parti, selesai dalam parti. Bukan Pas dan Bersatu sahaja, parti-parti lain pun bergaduh juga. Tapi saya yakin pimpinan utama PN mampu mengatasi perkara ini dengan baik,” katanya lagi. – UTUSAN










