fbpx

Croatia tunjukkan jalan keluar buat Kanada

Croatia gah membenam Kanada, 4-1 untuk meletakkan mereka selaku peneraju Kumpulan F.

DOHA : Dua gol jaringan Andrej Kramaric dan satu gol masing-masing menerusi Marko Livaja serta Lovro Majer memperlihatkan kebangkitan gemilang Croatia untuk mengatasi Kanada, 4-1 pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan F, Piala Dunia 2022, sebentar tadi.

Kemenangan ini meletakkan Croatia selaku peneraju kumpulan dengan berkongsi empat mata dengan Maghribi namun dibezakan jaringan yang hasil kemenangan besar malam ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa itu, Croatia dikejutkan gol awal yang dijaringan Alphonso Davies seawal minit kedua menerusi gerakan yang membuahkan hasil buat Kanada.

Davies membuka jaringan seawal minit kedua namun gagal membantu kemenangan Kanada.

Gol tersebut bagaimanapun tidak melemahkan semangat Croatia mula mengatur gerakan memburu gol penyamaan.

Corak permainan pantas dan menyerang dipamerkan kedua-dua pasukan nyata menghiburkan dengan beberapa percubaan hampir menemui gawang gol.

Penyerang Croatia, Andrej Kramaric memastikan perlawanan kembali seimbang apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36.

Berselang lapan minit kemudian, giliran Croatia mendahului Kanada menerusi jaringan Marko Livaja yang menewaskan penjaga gawang Kanada, Milan Barjan buat kali kedua.

Tidak puas dengan satu gol, Kramaric terus membuktikan ketajaman penyudah apabila menjaringkan gol ketiga buat pasukan pada minit ke-70 sebelum pemain gantian Lovro Majer meledak gol keempat pada masa kecederaan babak kedua.

Anak buah Zlatko Dalic yang merupakan naib juara 2018 akan membuat perhitungan pada aksi terakhir menentang Belgium manakala Maghribi pula bertemu Kanada pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan yang akan menentukan dua pasukan terbaik.

Bagi Kanada dua perlawanan tanpa sebarang mata menandakan perjalanan mereka dalam Piala Dunia 2022 sudah pun berakhir walaupun masa berbaki satu perlawanan.-AGENSI

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN