PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap hubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei terus diperkukuh susulan Lawatan Khas Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada hari ini.
Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan sulung bersama Sultan Brunei, beliau dan baginda berpeluang menilai kemajuan kerjasama sedia ada antara Malaysia-Brunei di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan serta kerjasama boleh memanfaat kedua-dua negara
“Semoga hubungan Malaysia-Brunei terus diperkukuh, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan beliau menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah bersama anakanda baginda, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang sempena Lawatan Khas ke Malaysia.
Katanya, baginda berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa beliau dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen ke Seri Perdana, Putrajaya bagi mengadakan pertemuan sulung disusuli majlis santapan tengahari.
Sebelum ini, Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, ia pertemuan julung kali antara Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November lalu.
Anwar dan Sultan Brunei meluangkan masa hampir sejam dalam pertemuan itu yang diakhiri dengan kedua-dua pemimpin bertukar cendera kenangan.
Wisma Putra memaklumkan, pada 2021, Brunei adalah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM 8.03 bilion (USD1.94 bilion). – UTUSAN