Skim Didik Zakat ajar anak menabung, cakna zakat

Skim Didik Zakat ajar anak menabung, cakna zakat

AZLAN Shaari menunjukkan promosi kempen Didik Anak Menabung dan Cakna Zakat di Wisma PPZ Taman Shemelin Perkasa di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu bapa digalakkan mendidik anak-anak menunaikan kewajipan berzakat dan menabung untuk pendidikan masa depan dari peringkat kanak-kanak melalui Skim Didik Zakat dan Simpan SSPN Prime (DZAS).

Skim DZAS ini berlangsung selama setahun bermula 1 September 2022 hingga 31 Ogos 2023 hasil kerjasama Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Penolong Pengurus Besar Khidmat Pelanggan PPZ-MAIWP, Azlan Shaari menjelaskan, kanak-kanak boleh membayar zakat sejak kecil lagi kerana syarat wajib berzakat tidak melibatkan umur atau akil baligh sebaliknya ia menetapkan pembayar zakat mestilah seorang yang beragama Islam, merdeka, sempurna milik, cukup haul dan cukup nisab.

Justeru, katanya, melalui Skim DZAS ini, anak-anak dapat mengenali dan memahami kewajiban berzakat serta kepentingannya terhadap masyarakat yang memerlukan.

“Dengan kempen ini, mak ayah boleh kenalkan zakat ini kepada anak-anak dan mendapat pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada ibu bapa dan anak. Kalau duit simpanan sudah ada sampai umur tiga ke empat tahun, ibu bapa perlu bawa anak pergi ke kaunter supaya dapat mengajar zakat diwajibkan kepada beliau walaupun di peringkat awal.

“Pada masa sama, ibu bapa dapat mengajar anak tentang membantu orang lain, kerana apabila zakat dibayar di kaunter, duit ini akan diagihkan kepada orang memerlukan, jadi anak-anak tahu ke mana duit itu diagihkan dan sedar dengan tanggungjawab sejak kecil,” katanya.

Tambah beliau, Skim DZAS ini juga boleh membantu ibu bapa dan anak-anak menampung tanggungan untuk membayar yuran pengajian apabila mahu melanjutkan pelajaran di peringkat pendidikan tinggi.

“Kos pinjaman pendidikan mungkin meningkat dalam tempoh 10 tahun akan datang, jadi sekurang-kurangnya dengan ada simpanan ini dan menyimpan dalam jangka panjang, bila umur 18, anak-anak nak sambung belajar duit dah ada,” katanya.

Pembayar zakat yang menyertai kempen ini berpeluang untuk menikmati insentif menarik seperti sumbangan pendidikan, pembukaan akaun SSPN Prime secara percuma dan sumbangan khairat kematian.

Antaranya, 5,000 peserta terawal akan menerima sumbangan pendidikan daripada PPZ-MAIWP bernilai RM100 seorang setiap tiga tahun sekali dan akan didepositkan terus ke Akaun Simpan SSPN Prime sehingga penerima manfaat berumur 18 tahun.

Malah, 3,000 peserta skim terawal yang belum membuka Akaun Simpan SSPN Prime akan ditaja oleh PPZ-MAIWP dan PTPTN untuk pendaftaran pembukaan Akaun Simpan SSPN Prime sebanyak RM20 manakala peserta skim yang telah membuka akaun dan membayar zakat di PPZ-MAIWP dalam tempoh kempen juga layak untuk dapat tajaan tersebut.

Selain itu, peserta akan turut menerima sumbangan Skim Kafalah Muzakki atau Khairat kematian di mana sekiranya berlaku kematian ke atas pembayar zakat, waris boleh menerima wang sehingga RM3,000.

Untuk menyertai skim ini, ibu bapa atau penjaga dan anak-anak perlu membayar zakat harta melalui semua saluran pembayaran zakat di PPZ-MAIWP mengikut kadar sebenar jumlah taksiran atau membayar serendah RM100 seorang dalam tempoh kempen.

Pendaftaran Skim DZAS mesti melalui ibu bapa dan penjaga serta pastikan anak-anak tidak kira sama ada anak kandung atau anak angkat masih berumur 15 tahun dan ke bawah pada tahun semasa 2022 dan 2023.

Isi dan lengkapkan borang penyertaan Skim DZAS secara atas talian dan status pendaftaran akan dimaklum kepada ibu bapa atau penjaga melalui e-mel oleh PPZ-MAIWP dan maklumat lanjut boleh layari https:/dzas.zakat.com.my/. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya