PETALING JAYA: Gangguan kecil yang berlaku secara berulang dalam sistem pengangkutan awam di Lembah Klang menghakis keyakinan pengguna sehingga mendorong mereka kembali menggunakan kenderaan persendirian, menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Berdasarkan Kajian Mobiliti Lembah Klang (GKLMOB) Fasa 1, gangguan kecil seperti ketibaan bas yang tidak menentu, perkhidmatan yang tidak konsisten, penyampaian maklumat gangguan yang tidak jelas serta akses ke stesen yang kurang selesa menyebabkan sistem itu rapuh dan sukar dipercayai.
“Masalah ini mungkin kelihatan kecil secara berasingan, tetapi secara keseluruhan ia meningkatkan beban, risiko dan ketidakpastian yang perlu ditanggung pengguna setiap hari,” menurut laporan kajian tersebut.
GKLMOB Fasa 1 adalah satu projek penyelidikan berbilang kaedah yang meneliti pengalaman harian orang ramai menggunakan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian.
Menurut KRI, keadaan itu mendorong pengguna yang mempunyai pilihan untuk kembali menggunakan kereta sebagai langkah rasional, walaupun perkhidmatan bas dan rel secara relatifnya kompetitif dari segi kos dan masa perjalanan.
Kajian GKLMOB Fasa 1 merangkumi tiga kertas perbincangan utama yang menilai isu sama daripada perspektif berbeza.
“Kertas pertama mendapati pengangkutan awam sering dianggap ‘cukup berfungsi untuk digunakan, tetapi cukup rapuh untuk diketepikan’, dengan faktor kebolehpercayaan, keselesaan, keselamatan dan akses menjadi penentu utama keputusan perjalanan harian.
“Kertas kedua pula memperkenalkan Indeks Prestasi Bas (BPI) bagi menilai prestasi sebenar perkhidmatan bas di jalan raya.
“Analisis menunjukkan prestasi bas tidak konsisten, termasuk pelepasan awal sebelum masa ditetapkan dan masa menunggu yang sukar diramal, sekali gus menjejaskan keupayaan pengguna merancang perjalanan mereka,” katanya.
Kertas ketiga meneliti keadaan fizikal hentian bas di Lembah Klang dan KRI mendapati kualiti hentian bas amat tidak sekata, daripada hentian lengkap dengan bumbung dan kemudahan asas sehinggalah hentian yang hanya berupa tiang di tepi jalan, yang memberi kesan kepada persepsi keselamatan dan keselesaan pengguna.
Tambah KRI, penggunaan pengangkutan awam bukan hanya ditentukan oleh tempoh perjalanan, tetapi juga sejauh mana sistem tersebut boleh diramal, difahami dan diurus dalam kehidupan seharian.
“Sehubungan itu, KRI mencadangkan beberapa langkah jangka pendek bagi mengukuhkan penggunaan pengangkutan awam, termasuk penambahbaikan penyampaian maklumat masa nyata, pengukuhan kawalan operasi bas, penambahbaikan infrastruktur menunggu dan pejalan kaki di hab transit serta pendekatan lebih bersasar bagi menangani isu perjalanan batuan pertama dan akhir,” tambahnya.
Menurut KRI, usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam memerlukan pembaikan terhadap kelemahan operasi harian dan bukan semata-mata bergantung kepada pembinaan infrastruktur baharu, bagi memastikan sistem itu terus relevan dan diyakini pengguna. – UTUSAN










