MANCHESTER: Manchester United sekadar mengutip satu mata di Old Trafford apabila seri tanpa jaringan dengan Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.
Ketumpulan jentera serangan The Red Devils menjadi punca utama mereka dikecewakan dihadapan penyokong sendiri.
Aksi babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan tidak banyak mencipta peluang dan ia berakhir tanpa jaringan.
Memasuki babak kedua, United bermula garang menerusi jaringan Cristiano Ronaldo pada minit ke-48 namun gol itu dibatalkan selepas didapati penyerang berusia 37 tahun itu berada dalam kedudukan ofsaid.
United turut memiliki peluang keemasan untuk membuka tirai jaringan namun tampanan Fred yang hanya berdepan gawang kosong selepas menerima hantaran lintang Marcus Rashford pada minit ke-88 hanya sedikit tersasar.
Enggan berputus asa, skuad kendalian Erik ten Hag terus melancarkan serangan bertali arus ke gawang pelawat namun dikecewakan sekali lagi dengan penyudah tumpul apabila tandukan Rashford gagal menemui sasaran.
Biarpun memiliki sekurang-kurang tiga peluang terbaik untuk diterjemahkan dalam bentuk jaringan namun ternyata nasib tidak memihak kepada United, selain benteng Newcastle yang bertahan dengan cukup baik.-AGENSI