BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) tidak akan membawa elemen yang hanya menjurus kepada kepentingan kaum atau agama tertentu dalam perjuangannya sekali gus menjadi platform politik paling berkesan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.
Ketua Penerangan BN Pulau Pinang, Tan Chuan Hong berkata, BN menggalakkan kepelbagaian budaya dan menyokong keharmonian hidup bersama serta persefahaman dan toleransi dalam semua kumpulan etnik.
Tegas beliau yang juga Ketua MCA Bahagian Bagan, pemimpin parti BN juga tidak akan menjadi seperti sesetengah pemimpin lain yang hanya bermain dengan isu politik bagi tujuan memecah-belahkan rakyat.
“Antaranya seperti menggunakan isu dana yang diperuntukkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) dalam Bajet 2023 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini dengan niat untuk menakutkan rakyat dan mendapat keuntungan politik dari isu berkaitan kaum,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis amal anjuran Rukun Tetangga Taman Puyu Butterworth dan Persatuan Kebajikan Ci Ai Pulau Pinang, di sini semalam.
Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas kepada golongan memerlukan termasuk penduduk India yang bakal menyambut perayaan Deepavali minggu depan.
Mengulas mengenai majlis itu, kata Chuan Hong, usaha membantu golongan memerlukan tanpa mengira warna kulit sudah menjadi tradisi dalam kalangan pemimpin BN meskipun di kawasan yang tidak diwakili wakil rakyat mereka.
“Bagi kami, aktiviti turun padang dan menghulurkan bantuan kepada penduduk tanpa mengira kaum ini juga adalah pendekatan yang dapat menggalakkan perpaduan dalam kalangan semua etnik.
“Ia juga lebih bermakna apabila penerimanya adalah golongan yang benar-benar memerlukan dan terkesan dengan keadaan ekonomi seperti ketika ini serta bagi mereka yang akan menyambut Deepavali iaitu perayaan yang cukup bermakna dan meriah buat kaum India,” katanya. – UTUSAN