Terengganu raih kemenangan kelima berturut-turut

Terengganu raih kemenangan kelima berturut-turut

PEMAIN TFC, Petrus Shitembi (dua, kanan) dikawal ketat pemain Penang FC dalam aksi Liga Super 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRYY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam Liga Super apabila menewaskan Penang FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan perebuan slot ke Piala AFC 2023 semakin sengit dengan TFC kini mengutip 32 mata, tiga mata di belakang Negeri Sembilan manakala Sabah di tempat kedua dengan 36 mata.

TFC tidak menunggu lama untuk melancarkan serangan melalui percubaan Manuel Ott yang mengenai jaring tepi pada minit ketujuh disusuli gerakan Kipre Tchetche dua minit kemudian.

Manuel Ott (tengah) berjaya mengatasi kawalan dua pemain Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Keghairahan TFC menyerang hampir dihukum pelawat mujur tandukan T. Saravanan hasil hantaran Muhd. Faizat Ghazli sedikit tersasar ke sebelah kiri penjaga gol pada minit ke-22.

Kem tuan rumah akhirnya ceria pada minit ke-37 setelah Faisal Abdul Halim menyudahkan gerakan satu dua bersama Petrus Shitembi untuk gol pembukaan dari dalam kotak penalti.

Jaringan itu menyemarakkan semangat Sang Penyu untuk menambah gol malangnya rembatan menarik Shitembi pada minit ke-39 sekadar menggegar palang ketika penjaga gol lawan sudah tertewas.

Faisal Halim bersujud ketika meraikan jaringan gol pembukaan buat Terengganu ketika berdepan Penang FCdi Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

TFC menggandakan jaringan ketika aksi memasuki masa tambahan menerusi Tchetche yang menanduk kemas bola hantaran Shitembi sekaligus membawa kedudukan 2-0 ke bilik persalinan.

Tchetche memastikan kemenangan selesa TFC di hujung permainan selepas melakukan voli berpunca hantaran Shitembi untuk menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-90.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya