Zahid perjelas hubungan dengan Anwar kekal baik

Zahid perjelas hubungan dengan Anwar kekal baik

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hubungan dua pemimpin utama negara iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kekal baik, meskipun pelbagai spekulasi melanda Kerajaan Perpaduan sejak kebelakangan ini.

Ahmad Zahid berkata, hubungannya dengan Perdana Menteri seperti biasa, malah kedudukannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini kekal di sebelah kanan Perdana Menteri.

Timbalan Perdana Menteri turut menafikan dakwaan laporan portal berita antarabangsa yang mendakwa wujud ketegangan antara dirinya dengan Anwar, lantas menyebabkan mesyuarat terpaksa ditamatkan lebih awal.

Presiden UMNO itu turut menegaskan bahawa hubungannya dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook selaku Menteri Pengangkutan juga amat baik dalam Kabinet.

“Mesyuarat habis seperti biasa iaitu pukul 1 tengah hari, tidak seperti yang dilaporkan.

“Saya duduk sebelah dia lah (Anwar), sebelah kanan Perdana Menteri. Kemudian di sebelah saya juga Anthony Loke, Menteri Pengangkutan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, hubungan Anwar dan Ahmad Zahid dilaporkan kian tegang sehingga menyebabkan mesyuarat Jemaah Menteri kebelakangan ini berlangsung lebih singkat berbanding biasa.

Memetik sumber, dikatakan ketegangan tersebut berpunca daripada keputusan Ahmad Zahid untuk Barisan Nasional (BN) menentang Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Keadaan itu difahamkan turut dipengaruhi tekanan daripada DAP supaya reformasi institusi dilaksanakan menjelang akhir tahun dan Anwar perlu mendapatkan sokongan blok Ahmad Zahid bagi mendapatkan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dibuat.

Ahmad Zahid turut menegaskan BN akan terus berpegang pada janji untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.

“UMNO ini parti yang memegang janji, janji kita adalah berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal.

“Keputusan itu dibuat sehingga tamat penggal Parlimen yang ke-15. Yang penting kita berada dalam kerajaan sebab itulah resolusi yang telah diterima sebulat suara oleh perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO terdahulu,” katanya.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid menzahirkan rasa tidak puas hati dengan Kementerian Kewangan apabila sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), berdepan kelewatan bayaran.

Susulan itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican menjelaskan, tiada sebarang sekatan dikenakan Kementerian Kewangan ke atas peruntukan KKDW bagi projek JALB.

Katanya, semua dana diperuntukkan bagi KKDW sudah disalurkan sepenuhnya dan kekangan proses pembayaran kontraktor ketika ini disebabkan dana berkenaan sudah dibelanjakan sepenuhnya.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga sudah meluluskan peruntukan tambahan RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

KKDW pula berkata, peruntukan bagi projek JALB perlu mengambil kira dua faktor iaitu projek baharu diluluskan dan yang sedang berjalan setiap tahun.

Katanya, berdasarkan komitmen semasa, keperluan peruntukan dianggarkan sekitar RM4 bilion setahun bagi memastikan pelaksanaan setiap projek dapat diteruskan secara teratur dan mengikut jadual. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×