PETALING JAYA: Selepas beberapa hari spekulasi mengenai Ketua Jurulatih Selangor FC ‘bertebaran’ di media sosial, Red Giants akhirnya mengesahkan bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bakal membimbing pasukan itu musim depan.
Selangor FC dalam satu kenyataan berkata, kelab yakin pengalaman Cheng Hoe, 54, yang pernah membimbing Kedah sebelum mengetuai skuad kebangsaan mampu membawa mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Selangor FC mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah bagi memberi ruang kepada beliau membuat persediaan awal serta merancang untuk musim hadapan,” kata Selangor FC dalam kenyataan tersebut.
Cheng Hoe pernah mengendali pasukan Kebangsaan dari tahun 2018 sehingga 2021.
Di bawah bimbingannya, Harimau Malaya berjaya menjadi naib juara Piala AFF 2018, selain mempamerkan persembahan terbaik dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.
Cheng Hoe turut pernah mengecapi beberapa kejayaan sepanjang karier kejurulatihan beliau ketika bersama Kedah dengan menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017. Beliau juga penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.
Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama yang baharu.
Selamat datang ke Selangor FC, Tan Cheng Hoe. 🔴 🟡 #MKLK #TCHKiniMerahKuning pic.twitter.com/j9oOvsdEof
— Selangor FC (@selangorfc) September 24, 2022
Sementara itu , Cheng Hoe menyifatkan Selangor FC merupakan satu Kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti.
“Saya berbesar hati untuk saya menabur bakti kepada pasukan ini. Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC.
“Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan,” ujar Cheng Hoe.
Menurut Cheng Hoe, beliau amat berterima kasih kerana diberi peluang untuk bersama dengan pasukan lebih awal bagi membantu membuat perancangan lebih rapi untuk musim hadapan.

“Saya yakin boleh membawa pasukan ke satu tahap lebih baik dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pemain, pihak pengurusan serta barisan jurulatih.
“Sama-sama berusaha keras untuk memastikan Selangor FC berada di landasan yang terbaik.
“Dalam jangka masa terdekat ini, saya harap pemain dapat faham dengan corak permainan yang akan saya terapkan.
“Di samping itu, saya juga perlu memahami setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri, penting untuk saya tahu semua itu.
“Saya rasa kualiti yang mereka ada mampu membantu saya mewujudkan semangat juang tinggi dalam pasukan,” tegasnya.
Selain pelantikan Ketua Jurulatih Pasukan Utama, Selangor FC juga mengumumkan pelantikan Penasihat Teknikal Pasukan Utama yang bakal digalas oleh bekas pemain dan juga seorang lagenda Gergasi Merah, K. Sanbagamaran.
Selangor FC juga mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil yang telah mengemudi pasukan sebagai Ketua Jurulatih Interim sepanjang tempoh kekosongan ini, dan beliau kini akan kembali memegang jawatan sebagai Penolong Jurulatih kepada Tan Cheng Hoe. – UTUSAN ONLINE-