JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri yang bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pengedaran dadah menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengetahui jenayah tersebut.
Namun, ibarat kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhir jatuh ke tanah jua apabila mereka dicekup polis di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di bandar raya ini, Khamis lalu.
Ketua Polis, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, penahanan dua suspek warga tempatan berusia 42 dan 36 tahun ini membawa kepada pembongkaran stor penyimpanan pelbagai jenis dadah di sebuah pangsapuri di Larkin, di sini.
Beliau berkata, dalam serbuan bermula 5 petang hingga 8 malam itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM214,287.
“Pasangan suami isteri itu menyewa pangsapuri yang berpagar dan berpengawal di Larkin bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan dijadikan stor penyimpanan pelbagai jenis dadah.
“Di pangsapuri itu, mereka membungkus semula dadah dalam pelbagai saiz bungkusan mengikut permintaan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin.
Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 14.32 kilogram (kg) heroin, 158 gram (g) serbuk ekstasi, 38.23g syabu dan 71g ketamin serta mesin pengisar, alat penimbang dan wang tunai RM510.
Menurutnya, modus operandi pasangan yang telah menjalankan jenayah itu sejak Mei lalu adalah dengan menjadi orang tengah antara pembekal dan pembeli bagi pasaran tempatan di sekitar bandar raya ini.
Katanya, polis sedang menyiasat dan mengesan dari mana pasangan terbabit memperoleh bekalan barangan terlarang itu.
Ujian saringan air kencing ke atas kedua-duanya adalah negatif, namun semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek wanita mempunyai rekod berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001, manakala lelaki mempunyai rekod dadah.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas itu boleh digunakan seramai 72,681 penagih,” katanya sambil memberitahu kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kamarul Zaman memberitahu, sejak awal tahun hingga Sabtu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor berjaya menahan 9,701 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas 2.62 tan barangan terlarang berkenaan dengan nilai keseluruhan RM11.93 juta. – UTUSAN










