PJ City tangguh hajat JDT bergelar juara lebih awal

PJ City tangguh hajat JDT bergelar juara lebih awal

ARIF Aiman sentiasa menghadirkan ancaman terhadap kubu PJ City dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petaling Jaya City (PJ City) mempamerkan kebangkitan di laman sendiri apabila berjaya mengikat pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) 2-2 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi.

JDT yang masih segar dengan kejayaan menjulang Piala FA pada Sabtu lalu melancarkan serangan bertali arus sejak wisel permainan dibunyikan.

Gandingan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri seringkali memberikan ancaman kepada kubu PJ City dengan percubaan berbahaya namun gagal mendapatkan gol pada babak pertama.

Aksi di babak kedua semakin rancak, apabila JDT tidak perlu menunggu lama, selepas pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli menghadiahkan sepakan penalti hanya 50 saat perlawanan kembali bersambung setelah bola didakwa terkena tangan pertahanan PJ City, Filemon Anyie Standly.

Bergson tampil menyempurnakan sepakan penalti, yang juga jaringan ke-22 untuknya musim ini.

Bagaimanpun PJ City bangkit menyamakan kedudukan menerusi Daren Lok untuk menewaskan penjaga gol pelawat, Farizal Marlias pada minit ke-73 untuk mengikat kedudukan 1-1.

Berbaki lima minit sebelum perlawanan tamat, Akhyar Rashid menyambut baik hantaran daripada Matt Davies untuk melakukan voli sekaligus meletakkan JDT kembali di hadapan dengan kedudukan 2-1.

Tatkala skuad Harimau Selatan sudah membayangkan tiga mata bakal dibawa pulang ke Johor Bahru, R.Kogileswaran menjadi pemusnah apabila rembatannya pada masa kecederaan kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 sekaligus keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini bermakna JDT perlu menanti lagi untuk dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut, sementara PJ City berjaya menjarakkan diri mereka dengan kelompok bawahan liga.

Biarpun masih memiliki lima perlawanan Liga Super, JDT dilihat tidak berdepan masalah untuk merangkul kejuaraan kesembilan berturut-turut kejuaraan utama liga tempatan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya