Peningkatan OPR beri kesan kepada ekonomi domestik - Utusan Malaysia

Peningkatan OPR beri kesan kepada ekonomi domestik

BANK Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menguatkan lagi kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) dengan menarik mata wang asing bagi membantu pemulihan ekonomi.

Ini amat penting selepas keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.5 peratus yang bakal memberi kesan kepada ekonomi domestik.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ekonomi domestik akan bergerak perlahan terutama apabila BNM dijangka membuat sekali lagi pelarasan OPR sebanyak 25 mata asas akhir tahun ini.

Ujarnya, walaupun ekonomi telah dibuka, pelabur mungkin lebih berhati-hati untuk melabur dan terus membandingkan dengan kadar pulangan simpanan deposit yang kini bertambah tinggi.

“Pengguna pula kini lebih berhati-hati untuk berbelanja dan menitikberatkan simpanan berikutan kenaikan harga barang dan kadar pinjaman yang tinggi.

“Justeru, untuk jangka masa pendek, jualan kenderaan dan pinjaman perumahan akan menurun, maka industri perumahan dan permotoran dijangka bergerak perlahan daripada suku keempat hingga tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, penurunan harga komoditi yang menjadi eksport utama negara seperti minyak mentah, minyak sawit dan getah juga akan memberi kesan kepada nilai perdagangan.

“Selain itu, penurunan permintaan untuk semikonduktor dan sarung tangan getah yang merupakan penyelamat ekonomi negara sewaktu pandemik juga telah merudum. Faktor-faktor ini mempengaruhi pemulihan ekonomi Malaysia dan menjadi cabaran terbesar kepada kerajaan.

“Lebih memburukkan keadaan, ekonomi China yang merupakan rakan dagang terbesar negara untuk 12 tahun pula kini berada dalam kemelesetan dan ini merupakan berita yang kurang baik untuk kita,” ujarnya.

Minggu lalu, MPC BNM membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5 peratus, iaitu kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Mengulas mengenai keputusan tersebut, Aimi Zulhazmi menjelaskan, ia selaras dengan keputusan bank pusat negara-negara jiran dan kebanyakan negara maju yang lain berikutan kenaikan kadar inflasi di negara masing-masing.

“Penyelarasan BNM ini menunjukkan kesungguhannya untuk kembali mencapai OPR 3.0 peratus seperti 2019.

“Matlamat BNM adalah untuk melindungi pasaran kewangan negara dan mengelakkan nilai tinggit terus merosot seperti yang berlaku sejak enam bulan lalu apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mula menaikkan kadar faedahnya bagi menangani inflasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN