MUKADIMAH
Pergolakan dalaman dan krisis keyakinan terhadap kerajaan campuran menjadi pendedahan paling lantang dilontarkan pengasas bersama Bersatu, DATUK SERI MOHD. REDZUAN MD. YUSOF. Tanpa berselindung, beliau mengakui kewujudan dua kem dalam Bersatu, namun menegaskan cubaan melemahkan institusi presiden melalui jalan tidak berperlembagaan adalah satu pengkhianatan terhadap asas perjuangan parti.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta jurufoto FAIZ ALIF ZUBIR, Mohd. Redzuan atau lebih mesra sebagai Pak Wan turut menyorot bahaya budaya politik ‘CAI’ yang bukan sahaja menafikan suara akar umbi, malah membuka ruang kepada politik wang, politik oportunis serta perebutan kuasa yang akhirnya menghakis nilai perjuangan sebenar politik Melayu.
Dalam nada tegas dan penuh kebimbangan, beliau turut mendakwa kerajaan Madani yang bukan kerajaan perpaduan sebenar, sebaliknya sebuah kerajaan campuran rapuh yang bercanggah ideologi. Isu penguasaan kementerian strategik, dakwaan kedudukan Melayu terhakis serta kebuntuan arah hala tuju negara menjadi amaran awal bahawa Malaysia sedang berada di persimpangan genting menuju PRU16.
MINGGUAN MALAYSIA: Keadaan Bersatu ketika ini dikatakan berdepan perpecahan dengan wujudnya dua kem. Benarkah dakwaan itu?
Saya akui memang wujud dua kem dalam Bersatu. Namun, saya sendiri tidak berada dalam mana-mana kem.
Prinsip saya mudah, saya berdiri berlandaskan Perlembagaan dan aturan parti. Jika seseorang tidak bersetuju dengan kepimpinan presiden, salurannya jelas, gunakan perlembagaan.
Kalau mahu presiden berundur, ada mekanisme yang sah. Jangan melemahkan institusi presiden melalui kaedah lain yang tidak beretika.
Persoalannya, adakah benar ramai bahagian mahu presiden meletak jawatan, atau ia sekadar digerakkan oleh pihak tertentu untuk mewujudkan persepsi bahawa Bersatu tidak stabil?
Saya melihat ada unsur pengaruh luar, lebih-lebih lagi apabila kerajaan sedia ada hari ini sendiri kelihatan rapuh dan sukar dilestarikan dalam jangka panjang.
‘RIBUT KECIL DALAM CAWAN’
Datuk Seri pernah menyentuh tentang budaya ‘CAI’ dalam politik. Boleh jelaskan?
Budaya CAI ini sebenarnya telah lama berakar dalam politik Malaysia. Ia merujuk kepada budaya kumpulan kecil atau warlord yang membawa pengikut secara berkumpulan untuk menentukan hala tuju kepimpinan dan dasar parti.
Kita pernah lihat perkara ini berlaku dalam UMNO, dan kini ia turut mempengaruhi Bersatu.
Apabila budaya CAI ini dominan, keputusan dibuat bukan berdasarkan suara akar umbi, sebaliknya melalui tekanan kumpulan tertentu.
Akar umbi pula tidak mengenali individu-individu dalam CAI ini, lalu mereka tiada pendirian sendiri. Ini akhirnya membuka ruang kepada politik berniaga dan politik kepentingan.
Namun, jika dikatakan Bersatu sedang dalam krisis besar, saya tidak bersetuju. Ya, ada krisis, tetapi saya melihatnya sebagai satu ‘ribut kecil dalam cawan’.
Kita mungkin tergoncang, tetapi tidak tumbang. Krisis ini sedang diuruskan dan Bersatu masih fokus kepada persediaan menghadapi PRU16.
BUKAN KERAJAAN PERPADUAN
Bagaimana Datuk Seri melihat keadaan kerajaan hari ini, khususnya selepas rombakan Kabinet?
Kerajaan hari ini sebenarnya bukan Kerajaan Perpaduan, tetapi kerajaan campuran dengan ideologi berbeza-beza.
Apabila ideologi bercampur, kepentingan dan nafsu politik juga bercanggah. Itu sebab kita lihat rombakan Kabinet besar-besaran berlaku.
Saya hairan apabila kementerian yang secara tradisinya berkait rapat dengan kepentingan kaum majoriti kini ditadbir oleh kaum minoriti.
Pusat penjanaan ekonomi negara pula tertumpu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, yang hari ini berada di bawah pentadbiran pihak yang bukan mewakili majoriti bangsa.
Sebagai bekas menteri dan penggubal undang-undang, saya bimbang wakil-wakil rakyat, khususnya daripada UMNO, tidak melihat implikasi jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat dan kedudukan orang Melayu.
Datuk Seri kelihatan bimbang dengan dasar dan hala tuju tertentu dibuat kerajaan?
Ya, saya bimbang. Kita lihat contoh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang kini diterajui DAP.
Terdapat kecenderungan ke arah konsep kesamarataan yang boleh menghakis kedudukan sedia ada.
Simbol Jata Negara pun seolah-olah dipinggirkan. Kita perlu bertanya, ke manakah hala tuju negara ini? Adakah kita sedang bergerak ke arah konsep seperti ‘United States of Malaysia’?
Saya tekankan, ini bukan soal rasis. Mana-mana negara di dunia ini pun tidak membenarkan sekolah vernakular secara meluas dalam sistem awam, kecuali sekolah swasta.
Tekanan demi tekanan ini akhirnya mencetuskan reaksi penolakan daripada rakyat.
POLITIK OPORTUNIS
Adakah politik hari ini lebih bersifat oportunis berbanding perjuangan sebenar?
Ya, memang jelas. Politik hari ini lebih kepada peluang – siapa mahu jawatan, siapa mahu pendapatan besar, siapa mahu berada dalam arus pengurusan perbelanjaan. Perjuangan semakin terhakis.
Lihat UMNO, saya sendiri tidak faham mengapa mereka terus kekal dalam kerajaan yang jelas mengkhianati perjuangan asal mereka.
Apabila Perdana Menteri berkata, orang Melayu `tidak semestinya’ ditindas walaupun kementerian diterajui DAP, kenyataan itu sendiri membuka ruang kompromi terhadap kedudukan Melayu, khususnya di bandar dan dalam ekonomi.
Bagaimana untuk menangani barah politik wang?
Kita perlu kembali kepada asas, iaitu pendidikan dan kefahaman Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 153. Jika ini tidak disuntik kepada ahli dan rakyat, politik wang akan terus membarah.
Apabila rakyat ditekan, disempitkan ruang ekonomi dan kehidupan, mereka akan terdorong kepada jalan pintas dan aktiviti tidak sihat.
Sejarah menunjukkan, apabila masyarakat ditekan ke sudut, tindak balas akan berlaku. Jika pemimpin gagal berfikir secara menyeluruh dan adil, konflik sosial akan tercetus.
‘PAYUNG BESAR’ SEBAGAI JENTERA
Mengenai penyatuan orang Melayu, bagaimana Datuk Seri melihat idea ‘payung besar’ yang dicetuskan Tun Dr. Mahathir Mohamad?
Dari satu sudut, payung besar ini agak bertindih kerana peranan itu sebagiannya telah dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN). Namun, saya melihat payung besar ini lebih sesuai sebagai jentera atau inisiatif sokongan kepada PN, bukannya sebuah parti politik baharu.
Tujuan payung besar itu jelas, iaitu menyatukan UMNO, Pas, Bersatu serta NGO-NGO Melayu untuk menggerakkan satu gagasan besar bagi mengambil alih kerajaan sedia ada.
Inisiatif itu baik, cuma persoalan besarnya adalah bagaimana ia diterjemahkan dalam konteks pilihan raya – atas tiket apa, simbol apa dan manifesto apa?
Adakah hanya parti-parti Melayu sahaja mampu memerintah Malaysia?
Insya-Allah, boleh. Kita lihat Pas kini menjadi parti dengan jumlah kerusi terbesar hasil PRU15, malah lebih besar daripada DAP.
Jika di bawah payung besar wujud formula kerjasama Pas, Bersatu dan mungkin UMNO, ia mampu membentuk kerajaan.
Dalam Bersatu sendiri, isu dua kem ini hanyalah krisis kecil akibat budaya CAI. Ada cubaan untuk menafikan kelangsungan presiden, tetapi jika mahu perubahan, lakukan secara berperlembagaan.
Apa pun, matlamat utama adalah memastikan kerajaan campuran hari ini dapat diambil alih.
Kerajaan ini bukan kerajaan perpaduan sebenar seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini. Ia hanyalah kerajaan campuran, dan ramai rakyat sendiri mempersoalkan di mana letaknya perpaduan itu?
POLITIK NEGARA SUDAH DIJUAL BELI
Rakyat tidak yakin dengan usaha dilakukan pembangkang untuk menjadi kerajaan, boleh Datuk Seri komen?
Banyak isu ‘bola tanggung’, pembaharuan semula bandar (URA), perjanjian perdagangan timbal balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, Kabinet baharu, tapi kenapa kita tidak membawa suara itu sebagai pembangkang yang kuat, saya pun tidak faham. Kalau saya duduk dalam
Dewan Rakyat, saya akan bangkitkan perkara yang sama tapi malangnya saya tidak dipilih pada PRU15.
Kefahaman demografi, kefahaman persempadanan semula untuk masa depan perlu diberi kepada Melayu yang masih lagi tidak sedar sebagai wakil rakyat tentang kedudukan orang Melayu masa depan.
Kalau dibiarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk di situ, boleh, sebagai pimpinan Melayu, tapi dia kena membawa satu naratif yang dibawa masa berada dalam UMNO dan juga tolak tepi isu, dan buat satu penampilan yang kita tidak boleh terima politik pluralism.
Itu dilarang oleh kerajaan kita sendiri. Itu yang saya katakan tadi jatidiri kena ada hendak jadi kepimpinan.
Tetapi politik Malaysia ini sudah dijual beli, dimensi politik sekarang keliru antara perjuangan dan oportunis.
POLITIK DILACURKAN
Pembangkang sering dilabel bawa isu perkauman, komen Datuk Seri?
Kena kembali kepada Perlembagaan Persekutuan, semua kena belajar dan fahami termasuk orang Cina.
Anda tidak boleh ambil hanya sikit-sikit untuk kepentingan anda. Kita tidak menidakkan hak anda untuk perlembagaan, tetapi hak kita (Melayu) sedang di hakis secara halus oleh ketua-ketua politik.
Kawan saya banyak bangsa Cina, saya berniaga dengan orang India, Cina tiada masalah pun.
Tapi bila politik ini telah dilacurkan, maka kalau orang hendak mempertahankan kedudukan sebagai pembangkang, tidak sedar perkara ini susahlahlah. Saya sarankan semua pemimpin politik baca Perlembagaan, gunakan itu sebagai asas kepada undang-undang, membuat dasar kepada rakyat.
Kalau tengok kerajaan Madani ini, seolah kita ada satu lagi kerajaan, kerajaan DAP, jadi ini Deep State yang berlaku.
Orang hendak marah saya, marahlah, saya bukan bercakap soal rasis atau 3R, saya bercakap soal politik.
AKAUN BERSATU DIBEKU
Datuk Seri boleh komen sedikit mengenai tuduhan curi duit parti oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Saya bertanya sendiri kepada Tun Dr. Mahathir, dan beliau berkata kenyataannya dimanipulasi dan itu jawapan beliau. Saya pun cadangkan beliau buat kenyataan terbuka, tapi beliau kata tidak mengapalah.
Tapi apa yang dia sebut itu saya rasa adalah satu perkara yang mungkin terlepas cakap. Ini pendapat saya, mungkin dia hendak maksudkan kepada orang lain, sebab dia pun sudah umur 100 tahun.
Dari sudut itu saya tidak nampak apa yang disebutkan sebagai perkara yang berlaku dalam Bersatu. Kita ada perlembagaan, undang-undang dan struktur.
Segala dana parti masuk kepada akaun parti. Macam mana kita hendak kata orang tertentu curi dana parti?
Kita ada proses audit dan sebagainya. Bagaimanalah macam seseorang, macam saya boleh ambil duit simpan dekat rumah?
Akaun Bersatu diaudit, dan sekarang ini macam mana hendak disebut Presiden ambil duit parti? Duit kita dibekukan, kita tidak boleh sentuh pun.
Jadi, bagi saya itu kenyataan yang tidak berasas. Kalau pendapat saya dan orang yang mendengar itu selalunya bila ada kabilah-kabilah politik ini akan menggunakan itu sebagai senjata untuk menjatuhkan seseorang.
Benda itu kalau benar mesti ada bukti. Tapi saya sebutkan tadi, Bersatu ada akaun dan diaudit.
Hari ini akaun Bersatu tiada duit sebab dibekukan. Duit yang kita ada saya ingat lebih kurang RM80 juta hari ini telah disita atau dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atas sebab apa hingga hari ini kita tidak tahu.
Bagaimana Bersatu hendak menghadapi PRU-16 dengan kekangan dana?
Dalam keadaan kewangan seperti itu kita kena berusaha seperti mana kita bermula dan menang sejumlah pada PRU-14, kita tiada duit pun , masih novis (baharu) sebagai parti, masing-masing beri sumbangan.
Memang kita tiada dana dan mungkin orang macam saya, Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin lain yang menggerakkan, memastikan berdenyut lagi nadi Bersatu ini, mengeluarkan apa sahaja sumber yang kita ada.
Dulu PRU14 kita bergolok-gadai. Saya bergolok-gadai untuk melawan kebungkaran ketika itu. Hari ini saya tampil semula, masih ada jiwa begitu untuk memastikan apa yang berlaku ini tidak berterusan, mesti dikekang.
Akar umbi sentiasa setia kepada pimpinan, tapi rasa dikhianati apabila pimpinan lebih mementingkan agenda peribadi berbanding rakyat?
Ya setuju, itulah dia cabaran yang kita hadapi, apa agenda dia sebenarnya? Apa yang mereka mahu? Adakah kita hendak letakkan satu poster boy dalam satu gagasan, itu belum kita putuskan.
Hasrat untuk mencalon seseorang itu memang ada tapi apapun kita bawa kaedah berbincang.
Dulu masa PRU14 mana ada poster boy, tapi ketika itu mengikut hierarki siapa yang berkebolehan, maka semua setuju sebab itu Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri.
Kalau rakyat mahu melihat siapa ketua itu sesuatu yang saya tidak boleh hendak jawab hari ini, ramai yang berkebolehan tapi kena ikut struktur parti.
Dalam gagasan itu, ya Bersatu dalam Perhimpunan Agung Tahunan telah mencalonkan Presiden sebagai Perdana Menteri, Pas pun boleh mencalonkan, siapa-siapa boleh mencalonkan, tapi isu siapa hendak menjadi Perdana Menteri itu belum timbul, sebab kita masih dalam proses untuk mengadakan satu gagasan besar untuk mengembalikan dominasi politik tanah air di bawah bangsa majoriti.
PERLU ADA KERAJAAN MAJORITI
Menghadapi PRU16, boleh Datuk Seri komen apa langkah terbaik buat PN?
PN mesti terus bekerjasama dengan Pas. Kita kena usahakan gabungan-gabungan politik dengan lain seperti yang sekarang diusahakan oleh Muhyiddin menerusi Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
Kita juga perlu jalin kerjasama dengan NGO di bawah payung besar, walaupun kita (PN) ada dalam payung besar, tapi pembentukannya masih belum jelas.
Jadi, kalau disebutkan apa cara kita hendak menang pilihan raya (dengan payung besar) bila-bila masa kita boleh menang, cuma kena ada usaha penyatuan, tidak dapat 100 peratus pun tidak mengapa.
NGO kena memainkan peranan lebih menjurus kepada menjadi jentera mendukung pergerakan.
Contohnya, seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ada sejuta ahli, gerak kerja itu perlu dimulakan sekarang.
Mereka boleh jadi jentera penggerak untuk memastikan orang Melayu jangan berpecah. Kita minta NGO gerakkan orang Melayu keluar mengundi.
Kalau kita lihat kawasan bandar pun kita mungkin ada kelebihan, sebab kalau kita lihat ibu bapa mungkin balik, contoh mengundi di Kelantan atau Johor, tapi anak-anak mereka mungkin tujuh hingga lapan orang ini, mereka inilah yang patut keluar mengundi. Tapi mereka ini juga kena diberi kefahaman tentang kedudukan Perlembagaan, jadi kena seiring.
Jadinya, itu penting NGO tadi berada dalam payung besar, bekerjasama dengan parti politik yang besar untuk menjurus kepada usaha menumbangkan kerajaan hari ini
Kita perlu ada kerajaan yang majoriti. Jadi, saya harapkan pemimpin-pemimpin Melayu ini sedar, pertama tentang kedudukan kita hari ini. Buat perubahan minda, janganlah kita duduk di situ sebab mahu kuasa semata-mata, untuk kepentingan peribadi.
Harapan daripada rakyat, lindungilah hak kita tanpa menidakkan orang lain, lindungilah agama kita, jangan satu hari esok mereka meminta hak sama rata. – MINGGUAN MALAYSIA










