PETALING JAYA: Kejayaan skuad sepak takraw menamatkan kemarau pingat emas di Sukan SEA merupakan permulaan untuk berdepan cabaran yang jauh lebih mencabar tahun depan.
Ketua jurulatih, Ahmad Jais baharun berkata, pemain tidak boleh leka dibuai kejayaan kerana fokus selepas ini tertumpu kepada kejohanan lebih besar termasuk Piala Dunia, Piala Raja Thai dan Sukan Asia 2026 yang disifatkan sebagai penanda aras (KPI) utama pasukan.
“Selepas kejayaan ini (Sukan SEA), saya ingatkan pemain jangan lalai dan jangan bangga diri. Kita perlu bekerja lebih keras kerana tugasan pada 2026 jauh lebih mencabar,” katanya.
Jais turut memaklumkan program pasukan kebangsaan akan memasuki fasa transisi dengan kem latihan direhatkan sehingga 1 Januari ini sebelum laporan prestasi pemain dibentangkan kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menentukan hala tuju program 2026.
“Selepas keputusan dibuat, pemain terpilih termasuk bakat baharu dari luar program akan dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan bagi persiapan jangka panjang,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan tumpuan bukan hanya kepada pemain elit, sebaliknya merangkumi pembangunan akar umbi bagi menjamin kesinambungan pasukan kebangsaan.
“Kejayaan di Sukan SEA memberi suntikan semangat kepada program di peringkat bawah seperti Program Pembangunan Sepak Takraw Negara(NSTDP),Majlis Sukan-Sukan Malaysia(MSSM) dan Liga SepakTakraw (STL).
“Tugasan saya selepas ini adalah lebih menyeluruh untuk memantau pembangunan pemain muda,” katanya.
Mengulas mengenai pasukan wanita dan acara kuadran, Jais mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki, termasuk kemungkinan mendapatkan khidmat jurulatih wanita dari Thailand secara sepenuh masa.
“Kita serius untuk membangunkan pasukan wanita, bukan untuk jangka pendek. Sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027, kita mahu pasukan wanita juga berdaya saing,” katanya.
Beliau menambah, PSM kini sedang berunding dengan beberapa calon jurulatih wanita yang berpotensi bagi memastikan pasukan wanita negara mendapat bimbingan berterusan dan lebih sistematik.
“Matlamat utama bukan pencapaian peribadi, tetapi kejayaan pasukan secara keseluruhan. Kejayaan ini penting untuk membina keyakinan penaja dan pihak berkepentingan terhadap masa depan sepak takraw negara,” katanya. – UTUSAN










